PENUMPANG antarabangsa yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi diperiksa oleh Kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi menggunakan alat pengesan suhu bagi mengekang penularan koronavirus baharu, semalam. FOTO ihsan Pejabat Pesihatan Daerah Langkawi
PENUMPANG antarabangsa yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi diperiksa oleh Kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi menggunakan alat pengesan suhu bagi mengekang penularan koronavirus baharu, semalam. FOTO ihsan Pejabat Pesihatan Daerah Langkawi
Noorazura Abdul Rahman


AKTIVITI pelancongan di Kedah terutama di Pulau Langkawi terjejas akibat penularan Koronavirus baharu (2019-nCoV).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, kedatangan pelancong dari China semakin berkurangan namun kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk melakukan promosi kepada negara-negara lain termasuk ASEAN.

"Sekarang kita tak fokus kepada pelancong dari China sahaja. Kita sasarkan pelancong dari India, Arab Saudi dan Eropah serta negara ASEAN.

"Daripada segi promosi dan aktiviti pelancongan kita teruskan seperti biasa. Memang kita akui akan terdapat pengurangan pelancong ke Pulau Langkawi dan sasaran kita untuk menarik tujuh juta pelancong ke negeri ini sepanjang sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 juga akan sedikit tersasar.

"Tapi bukannya disebabkan virus ini saja, ada lagi faktor lain... apa pun kita kena teruskan usaha untuk promosi pelancongan di Kedah," katanya ketika ditemui selepas program santai sarapan pagi bersama rakyat di Pasar Besar, Alor Setar, hari ini.

Dalam masa yang sama, Mohd Asmirul berkata, kerajaan mengambil langkah memperketatkan kawalan pemeriksaan keselamatan dan suhu badan di pintu masuk lapangan terbang, terminal feri, dan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) bagi memastikan virus ini tidak merebak dalam negara.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 12:35 PM