PELANCONG tiba di Jeti Kuah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
PELANCONG tiba di Jeti Kuah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman

Langkawi: Penggiat industri pelancongan di pulau peranginan ini mahu kerajaan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) ketat dalam mengawal varian baharu Covid-19 daripada menular, seiring kemasukan pelancong terutama dari China.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Penduduk Langkawi (LRTA) Hazani Hussin berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan menyekat kemasukan pelancong China.

"Tindakan menghalang pelancong hanya memberi kesan buruk, jangka pendek dan panjang kepada industri pelancongan tempatan yang masih dalam fasa pemulihan pasca Covid-19 yang lalu.

"Sepatutnya tidak perlu sekat (kemasukan pelancong dari China), tetapi perkenalkan SOP ketat kerana pasaran pelancong dari negara itu antara penyumbang terbesar kepada industri tempatan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Hazani berkata, penggiat industri pelancongan di Langkawi masih bergelut untuk bangkit semula dan menyifatkan sekatan hanya seperti 'kapal layar tiada angin'.

Sependapat dengannya, pengusaha kereta sewa, Mohd Faizal Hisham Husin berkata, China adalah pasaran pelancongan penting dan sebarang penggantungan sementara akan memberi kesan kepada industri.

"Cara terbaik jangan sekat sepenuhnya, tapi mengekang penularan Covid-19 dengan memperketatkan SOP di pintu masuk, selain laksanakan pemeriksaan suhu badan di hotel penginapan dan semua produk pelancongan serta premis perniagaan.

"Pengalaman lalu apabila kerajaan menyekat kemasukan pelancong, menyebabkan ramai pengusaha kereta sewa hilang pendapatan, malah terpaksa menjual aset," katanya.

Bagi Pengurus Besar Underwater World Langkawi (UWL), Noraini Jumaat berkata, pihaknya melihat cadangan menyekat kemasukan pelancong dari China dari sudut positif.

"Walaupun UWL antara produk tarikan pelancongan utama di Langkawi, tapi sekiranya kemasukan pelancong dari China boleh memudaratkan, lebih baik ia disekat buat sementara waktu.

"Situasi sekarang memang kita lihat ramai penduduk negara itu berpusu-pusu mahu keluar untuk mengelak jangkitan Covid-19, jadi jika tidak berwaspada kita pula akan terima padah nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 12:38 PM