Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sesi Dewan Rakyat tengah hari ini, sedikit tegang apabila berlaku sindir menyindir antara blok pembangkang dan kerajaan berhubung isu pendirian seorang ahli parlimen pembangkang menyokong Kerajaan Perpaduan jika peruntukan kawasannya diluluskan.

Kekecohan itu tercetus apabila Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat-PH) menyindir Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengenai pendiriannya menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya peruntukan untuk kawasannya diluluskan.

Syed Abu Hussin Hafiz ketika mengambil giliran dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan (KKM) itu sempat mengulangi pendiriannya ketika menyentuh isu berkaitan naik taraf dua pusat kesihatan di kawasannya.

"Sekarang ini, rakyat Bukit Gantang sedang mengikuti apa yang saya cakap, mereka minta saya sebutkan satu persatu (permintaan) dan mereka sebut kepada saya, Datuk dah minta macam-macam tapi tiada jawapan.

"Saya pun tak faham nak minta macam mana lagi dan pada tengah hari ini, saya nak mohon upgrade (naik taraf) Pusat Kesihatan Bukit Gantang dan Ayer Putih kepada tahap lima dengan perbelanjaan RM25 juta setiap pusat," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan setuju atau tidak dengan permintaannya yang diulang sekali lagi itu.

"Kalau kita tak minta pun kerajaan tak setuju, minta dengan baik pun tak beri, minta dengan kasar pun tak beri jadi nak minta macam mana?

"Saya sebut sudah permintaan lepas, kalau diluluskan (peruntukan) untuk rakyat saya dua pusat kesihatan ini, saya boleh menyokong kerajaan PMX tetapi tiada jawapan secara terang-terangan.

"Tapi kalau secara senyap-senyap boleh dilaksanakan," katanya mengakhiri perbahasannya.

Ketika itu, Mohd Sany bangun menyindir Syed Abu Hussin Hafiz yang tiada pendirian sebelum dicelah Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) yang membuatkan keadaan tegang sehingga Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau Kiong, terpaksa masuk campur.

Mohd Sany: Tak ada pendirianlah Yang Berhormat ini. Tak ada pendirian.
Alice: Hulu Langat, jangan berdiri.
Mohd Hasnizan: Hulu Langat sama saja.
Mohd Sany: Apa yang sama Hulu Selangor? Bangkitlah! Nak main-main dengan Hulu Langat, apa yang sama?

Alice kemudian mengarahkan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) supaya memulakan perbahasannya.

Adnan seterusnya meneruskan perbahasannya dengan menyentuh isu berkaitan pembangunan kesihatan keluarga dan perkhidmatan kesihatan luar bandar serta ubah suai, menaik taraf dan pembaikan.

Pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 9 November lalu, Syed Abu Hussin Hafiz menyatakan pendiriannya itu.

Katanya, beliau akan memberi sokongan kepada Kerajaan Madani jika permohonan peruntukan RM30 juta di bawah Belanjawan 2024 diluluskan untuk kawasan parlimennya.

DEWAN Rakyat. FOTO Ihsan Parlimen Malaysia.
DEWAN Rakyat. FOTO Ihsan Parlimen Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 3:44 PM