Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menuntut Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membayar ganti rugi berjumlah RM10 juta kerana mendakwa memfitnahnya.

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 22 Januari lalu di Mahkamah Tinggi di sini, melalui firma guaman, Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co, Farhash Wafa mendakwa Wan Ahmad Fayhsal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah mengenainya di pekarangan Parlimen pada 14 November 2023.

Menurut bekas Pengerusi PKR Perak itu, kenyataan berkenaan jelas merujuk kepadanya yang menggambarkan kononnya beliau menawarkan rasuah atau mengugut ahli parlimen untuk memberi sokongan kepada perdana menteri dan kerajaan semasa.

Farhash Wafa selaku plaintif turut mendakwa, ia memberi gambaran bahawa beliaubersekongkol dan memberi arahan kepada individu dikenali sebagai 'Datuk Botak', untuk menawarkan rasuah atau mengugut ahli parlimen lain bagi memperoleh sokongan untuk perdana menteri di Parlimen.

"Kenyataan berbaur fitnah itu memprejudiskan dan merendahkan perwatakan profesional, kepimpinan, reputasi dan kredibiliti saya.

"Ia turut diterbitkan di beberapa media sosial seperti Youtube rasmi Parlimen Malaysia, Tik Tok dan Whatsapp dan ia memalukan serta menyebabkan saya termasuk dalam kancah politik meskipun sudah lama meninggalkan arena itu.

"Ini juga turut memalukan saya selaku pengerusi dan pengarah beberapa syarikat tersenarai awam seperti 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad dan Apex Equity Holdings Berhad, " katanya.

Sehubungan itu Farhash Wafa menuntut ganti rugi khas sebanyak RM10 juta dan ganti rugi pampasan, am, teruk serta teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya daripada Wan Ahmad Fayhsal

Beliau juga antara lain memohon satu perintah injunksi bagi menghalang Wan Ahmad Fayhsal atau mana-mana ejennya daripada mengulangi kenyataan berbaur fitnah tersebut dalam apa cara sekalipun dan memohon perintah mahkamah supaya defendan memadamkan hantaran yang dibuat di mana-mana laman sosial kawalannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 5:35 PM