PDRM tegaskan Mior Faridalathrash (kiri) bukan bapa saudara kepada Farhash (kanan). FOTO Arkib NSTP
PDRM tegaskan Mior Faridalathrash (kiri) bukan bapa saudara kepada Farhash (kanan). FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid bukan bapa saudara kepada Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Penafian itu dibuat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Huzir Mohamed berhubung laporan di media sosial yang mengaitkan Mior Faridalathrash sebagai bapa saudara kepada setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Isu itu timbul selepas polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan kes liwat membabitkan Anwar susulan tular akuan bersumpah dibuat Aidil Azim Abu Adam mendakwa menerima bayaran RM300 melakukan perbuatan itu.

Portal Malaysia Today hari ini melaporkan, wujud konflik kepentingan dalam siasatan kes itu berikutan hubungan kekeluargaan Mior Faridalathrash dengan Farhash yang berkemungkinan dapat 'membebaskan' ahli politik berkenaan daripada tuduhan itu.

Huzir berkata, tuduhan terbabit berniat jahat serta berunsur fitnah.

"Laporan berkenaan juga mengatakan semua kes (terdahulu) membabitkan Farhash dilepas begitu saja disebabkan terdapat conflict of interest (konflik kepentingan).

"Kes terbaharu membabitkan kes liwat Anwar dan Aidil Azim Abu Adam yang mana laporan itu mendakwa Mior Faridalathrash adalah pegawai penyiasat kes," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Huzir berkata, semua kes membabitkan Anwar dan Farhash tidak pernah disiasat oleh Mior Faridalathrash sebaliknya disiasat pasukan khas siasatan.

Menurutnya, segala hala tuju dan keputusan siasatan diputuskan oleh pasukan khas siasatan berdasarkan bukti serta keterangan yang ada.

"Selain itu, beliau juga tidak pernah berjumpa dengan Farhash sebelum atau selepas siasatan.

"Semua keputusan siasatan untuk mendakwa atau sebaliknya adalah di bawah kuasa Jabatan Peguam Negara," katanya.

Justeru, katanya, tiada campur tangan dalam siasatan malah polis sentiasa mengambil pendekatan berkecuali dan profesional demi memastikan tiada pihak teraniaya sama ada dalam kes Farhash, Anwar serta Aidil mahupun kes lain yang disiasat.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan kes liwat membabitkan pemimpin sebuah parti politik susulan tular akuan bersumpah dibuat seorang lelaki mendakwa menerima bayaran RM300 melakukan perbuatan itu.

Berikutan itu, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia, Ramesh Rao akan dipanggil ke Bukit Aman esok, untuk dirakam keterangan.

Beliau dipanggil susulan laporan lelaki terbabit yang mendakwa keputusan membuat akuan bersumpah dipengaruhi oleh Ramesh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 12:24 AM