MOHAMAD Rodzi (gambar kiri, tengah), Jamilah (gambar kiri, kanan), Nur Intan (gambar kiri, kiri), Nur Shifa (gambar kanan, atas) dan Bashirah (gambar kanan, bawah) meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MOHAMAD Rodzi (gambar kiri, tengah), Jamilah (gambar kiri, kanan), Nur Intan (gambar kiri, kiri), Nur Shifa (gambar kanan, atas) dan Bashirah (gambar kanan, bawah) meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Nurul Hidayah Bahaudin


“SEPATUTNYA mereka hadir untuk majlis aqiqah anak, namun saya pula perlu balik ke kampung untuk pengebumian mereka,” kata Norliza Jalim@Jamil, 39, adik kepada dua mangsa kemalangan maut di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, pemandu kereta Perodua Myvi, Mohamad Rodzi Abdul Kadir, 52, bersama empat penumpang iaitu Jamilah Jalim @Jamil, 47, Bashirah Jalim@Jamil, 49, Nur Intan Mohamad Rodzi, 18, dan Nur Shifa Abdul Rashid, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori membawa muatan buah.

Norliza berkata, sebelum kejadian, kakaknya ada memaklumkan mereka sekeluarga terdiri daripada 15 orang menaiki tiga kenderaan untuk pergi ke Shah Alam bagi menghadiri kenduri aqiqah anaknya.

“Dua daripada kenderaan iaitu kereta Honda Jazz dan pacuan empat roda Isuzu Dmax dinaiki 10 ahli keluarga lain termasuk ibu (Fatimah Bakar, 69) tiba di rumah saya kira-kira 6 pagi tadi.

“Selepas hampir 30 minit menunggu kenderaan dinaiki kakak tidak sampai, saya menghubungi telefon bimbit abang ipar beberapa kali, namun tidak diangkat.

“Panggilan kali terakhir dibuat dijawab oleh pegawai polis yang memaklumkan mereka terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Beliau berkata, dua minggu sebelum kejadian, kakaknya, Jamilah yang juga seorang peniaga sangat teruja menghadiri majlis aqiqah anak ketiganya itu dan menawarkan diri untuk memasak jamuan kenduri itu nanti.

“Saya ada berbincang dengan kakak mengenai kenduri itu dan memaklumkan mahu menggunakan khidmat katering, namun dia beriya-iya mahu memasak untuk jamuan itu yang sepatutnya diadakan esok,” katanya.

Sementara itu, Fatimah berkata, mereka sekeluarga yang menaiki tiga kenderaan dari Kampung Ruat, Yan, Kedah, bergerak menuju ke Shah Alam kira-kira 10 malam tadi.

“Mula-mula perjalanan, Jamilah yang memandu kereta itu. Kemudian dia bertukar tempat dengan suaminya (Mohamad Rodzi) yang memandu selepas kami menyambung semula perjalanan sejurus singgah di kawasan rehat dan rawat (RNR) Tapah.

“Beberapa minit selepas meneruskan perjalanan, kereta mereka masih mengekori kenderaan kami yang bergerak perlahan kerana ada kemalangan di hadapan,” katanya.

Fatimah berkata, dia tidak mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku walaupun menyedari kenderaan mereka tidak kelihatan selepas lokasi kemalangan berkenaan.

“Sebaik tiba di Shah Alam, saya sempat menunaikan solat Subuh dan dimaklumkan oleh anak (Norliza) bahawa mereka masih tidak sampai lagi.

“Beberapa minit kemudian anak memaklumkan mereka sudah meninggal dunia akibat kemalangan,” katanya.

Fatimah memaklumkan semua ahli keluarganya yang maut dalam kejadian itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara.

“Saya tengok menantu (Mohamad Rodzi) sihat saja. Tidak nampak mengantuk atau letih ketika kami singgah di RNR Tapah.

“Sehingga kini, saya masih terkejut dengan berita pemergian mereka,” katanya.

Katanya, jenazah lima sekeluarga itu akan dikebumikan dalam dua liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ruat, Yan, Kedah, yang dijangka tiba kira-kira 10 malam nanti.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lima sekeluarga maut selepas kereta dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori membawa muatan buah.

Berita berkaitan

Sayu kenang kehilangan lima saudara

Tragedi konvoi ke kenduri aqiqah

Lima maut nahas dua kenderaan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 6:25 PM