Rosli Ilham

Dungun: Kakitangan Pejabat Hutan Daerah Terengganu Selatan maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan lori di Kilometer 65 Jalan Jerangau-Jabur, dekat Pejabat Veterinar Wilayah Timur, Cermin Kiri, Jerangau Sungai, petang tadi.

Dalam kemalangan jam 4 petang itu, mangsa, Abdul Hannan Abdul Hadi, 22, yang parah di kepala maut di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Zul Husni Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan jam 4.09 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Anggota kami mengambil masa selama 15 minit untuk mengeluarkan mangsa. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, pemandu lori berusia 37 tahun hanya mengalami cedera ringan.

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa. FOTO Rosli Ilham
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa. FOTO Rosli Ilham

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang bertugas sebagai Pengawas Hutan di Pejabat Hutan Dungun dalam perjalanan pulang ke rumahnya tidak jauh dari tempat kejadian.

"Ketika kejadian keadaan hujan lebat dan siasatan awal, polis percaya kereta dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori.

"Pemandu lori yang cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Besi untuk rawatan dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 8:29 PM