Paya Linda Yahya


Gua Musang: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) masih menyiasat di lokasi lelaki ditemukan maut dipercayai dibaham harimau di Kampung Meranto, di sini, semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, siasatan akan dilakukan anggota Jabatan Perhilitan yang terbabit operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi menentukan punca kematian sebenar.

Katanya, sejurus menerima maklumat, 10 pagi semalam daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, anggota Perhilitan bersama pasukan SAR bergerak ke lokasi kejadian.

"Jarak antara bandar Gua Musang dengan kawasan ladang berkenaan lebih kurang 55 kilometer dan mengambil masa antara satu hingga dua jam untuk sampai ke lokasi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini satu kes kecederaan dan dua kematian membabitkan masyarakat Orang Asli akibat diserang harimau belang di negeri ini dilaporkan.

Semalam, lelaki warga Indonesia ditemukan maut dipercayai dibaham harimau di kawasan ladang kebun getah, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 5:59 PM