Fisol Salleh (kiri) menyampaikan sijil lantikan Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) kepada Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Anggerik Lestari, Wan Mohd Saiful Wan Wahab pada majlis pelancaran Amanita di pekarangan PPR itu di Kuah, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Fisol Salleh (kiri) menyampaikan sijil lantikan Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) kepada Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Anggerik Lestari, Wan Mohd Saiful Wan Wahab pada majlis pelancaran Amanita di pekarangan PPR itu di Kuah, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


Langkawi: Pergaulan bebas dan akses yang mudah mendapatkan bahan lucah di internet, dikenal pasti antara punca utama peningkatan kes rogol dalam kalangan remaja di negeri ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, sebanyak 150 kes rogol membabitkan juvana direkodkan di negeri itu sepanjang tempoh Januari hingga Oktober lalu,

"Kita bimbang apabila kes jenayah seksual membabitkan mangsa berusia di antara 11 hingga 16 tahun di negeri ini menunjukkan trend menaik sejak 2021 dan peningkatannya menjadi lebih drastik pada tahun ini.

"Mereka (remaja) mengaku terbabit jenayah rogol selepas menonton bahan pornografi menerusi telefon bimbit," katanya pada sidang media selepas melancarkan Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Kedah 2023 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Anggerik Lestari di sini, hari ini.

Fisol berkata, kejadian rogol membabitkan juvana itu bukan saja dikesan berlaku di pekan atau bandar besar saja, sebaliknya kejadian sama turut meresahkan penduduk di kampung-kampung pedalaman.

"Jadi, berdasarkan situasi semasa, masyarakat kena ambil pendekatan baharu iaitu 'kena jaga tepi kain orang' dalam usaha kita untuk membanteras gejala sosial di kalangan remaja.

"Masyarakat bukan saja perlu ambil tahu, tapi kena turut berani tampil membuat laporan supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan bagi mengelak masalah menjadi parah," katanya.

Mengulas program Taman Angkat Amanita yang dilancarkan hari ini, beliau berkata, PPR Anggerik Lestari di Kuah menjadi lokasi ketujuh dipilih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah bagi melaksanakannya bertujuan menambah keakraban penduduk khususnya suri rumah dan polis.

"Sebelum ini kita laksanakannya di Taman Utama di Alor Setar pada 2016, Taman Bandar Baru Sungai Lalang (Sungai Petani, 2017), Taman Selasih (Kulim, 2018), Flat Paya Nahu (Kuala Muda, 2019), Taman Mahsuri (Jitra, 2021) dan Taman Perumahan Kota Nelayan (Kuala Kedah, 2022)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 2:44 PM