Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Penemuan tong cat bersama cecair putih di perkarangan Masjid Jamek Qaryah, Taman Kucai, Kulim pada 19 September lalu bukan lemak babi seperti yang ditular di media sosial sebelum ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengerusi masjid berkenaan berkaitan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di situ menunjukkan seorang lelaki bertindak mengunci pintu pagar masjid berkenaan dan mencampakkan sebuah tong cat berwarna putih pada 3.26 pagi hari berkenaan.

Beliau berkata, susulan daripada itu,

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menjalankan siasatan dengan mengambil rakaman CCTV serta merampas kunci pagar serta tong cat berkenaan untuk siasatan lanjut.

"Bagaimanapun tiada sebarang kerosakan dan kerugian pada pihak masjid berkenaan.

"Hasil siasatan juga mendapati, kes ini tiada kena mengena dengan keagamaan kerana ia bukannya lemak babi sebaliknya cat yang sudah keras," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Fisol berkata, berdasarkan maklumat dan risikan, seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan di Sungai Seluang, Lunas, Kulim pada 4 pagi hari ini, kira-kira tiga kilometer (km) dari tempat kejadian.

Beliau berkata, tangkapan ini hasil maklumat orang awam yang melihat suspek menaiki kenderaan jenis van biru dan membaling beberapa batang colok sembahyang di hadapan pintu utama masjid berkenaan.

"Hasil soal siasat awal turut mendapati, suspek mengaku terbabit dalam kes sebelum ini dan ingin mengulangi tindakan itu kerana mendakwa mendengar bisikan halusinasi.

"Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai empat rekod kes berkaitan dadah dan pernah dihukum sebelum ini," katanya.

Fisol berkata, susulan itu, satu kertas siasatan baru dibuka terhadap suspek mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana mengundang ancaman kepada agama dan perkauman.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara dua hingga lima tahun.

"Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 27 September ini untuk membantu siasatan," katanya.

Sebelum ini, satu video yang ditular di media sosial menunjukkan beberapa individu berada di perkarangan masjid dan seorang individu mendakwa kesan cat itu seperti lemak babi.

GAMBAR cat yang dibaling di perkarangan Masjid Jamek Qaryah, Taman Kucai yang didakwa lemak babi. FOTO Zuliaty Zulkiffli
GAMBAR cat yang dibaling di perkarangan Masjid Jamek Qaryah, Taman Kucai yang didakwa lemak babi. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 5:28 PM