Vie fasih bercakap menggunakan Bahasa Melayu dan loghat utara sejak sembilan tahun lalu. FOTO Feni Dian Fajrianti M Rafeli
Vie fasih bercakap menggunakan Bahasa Melayu dan loghat utara sejak sembilan tahun lalu. FOTO Feni Dian Fajrianti M Rafeli
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Tak kenal maka tak cinta. Itu pepatah yang sesuai menggambarkan situasi wanita berasal dari Tanjung Balai Karimun, Kepulauan Riau, Indonesia yang dahulunya dia tidak menyukai Malaysia namun kini negara ini sudah dianggap seperti 'rumah' keduanya.

Malah, lebih membanggakan Feni Dian Fajrianti M Rafeli, 26, juga fasih bercakap menggunakan Bahasa Melayu dan loghat utara sejak sembilan tahun lalu dan menguasainya dalam masa singkat malah dia juga selalu berkongsi videonya bercakap dalam bahasa kebangsaan di akaun Tiktoknya.

Perkongsian wanita itu yang lebih dikenali sebagai Vie turut mendapat perhatian rakyat di negara ini malah beberapa selebriti negara juga meninggalkan komen di akaun TikToknya selain ada juga yang keliru mengenai kerakyatannya.

Berkongsi kisahnya, Vie yang juga peniaga dalam talian itu berkata, dia adalah warga Indonesia yang berketurunan Melayu, Bugis dan Batak diwarisi daripada ibu bapanya yang masing-masing berdarah Melayu campuran.

Menurutnya, sebagai penduduk Kepulauan Riau, mereka bertutur dalam bahasa Melayu Riau yang secara asasnya hampir sama dengan bahasa Melayu Malaysia, namun ada sedikit perbezaan kosa kata dan lantunan suara serta ayatnya.

"Saya adalah rakyat Indonesia, dilahirkan dan dibesarkan di sana tetapi mempunyai minat mendalami dan belajar Bahasa Melayu Malaysia dan kebetulan saya bertemu jodoh dengan bekas suami yang juga rakyat Malaysia hampir dua tahun lalu.

"Tetapi sebenarnya saya belajar Bahasa Melayu sebelum berkahwin kerana minat selepas menonton drama lakonan Zul Ariffin yang juga pelakon kegemaran saya sebelum membuat carian di Youtube dan belajar daripada situ saja.

"Selepas itu saya terjumpa filem Mami Jarum dan 'terpukau' mendengar loghat utara kerana bagi saya ia unik dan lantunannya sedap didengari. Sejak itu saya belajar cakap utara pula," katanya sebelum ini tinggal di Selangor.

Katanya, dia mengambil masa sebulan untuk menguasai Bahasa Melayu negara ini kerana baginya ia lebih mudah berikutan mereka juga sudah biasa bercakap dalam bahasa itu, namun mengambil masa hampir empat bulan untuk mahir bercakap dalam loghat utara kerana ia agak sukar.

"Saya akan berlatih bercakap kedua-dua bahasa itu di depan cermin atau dalam bilik air dan selepas berpindah ke Malaysia penggunaan bahasa berkenaan lebih meluas, malah kebetulan keluarga bekas suami juga berasal dari Kedah," katanya.

Katanya, dia kini sudah kembali ke negara asal sejak Januari lalu selepas berpisah dengan bekas suami dan mengakui dia merindui negara ini yang disifatkan negara berbilang kaum yang rakyatnya semua baik dan suasananya juga harmoni.

"Saya sudah agak lama tinggalkan Malaysia dan merinduinya terutama makanan negara itu yang semuanya sedap terutama nasi kandar, namun sehingga kini saya masih bercakap Bahasa Melayu dan loghat utara sehingga kadang-kadang ada orang di sini tanya adakah saya orang Malaysia," katanya.

Vie berkata, sebelum ini dia juga sama seperti segelintir rakyat negaranya yang mempunyai stigma negatif terhadap Malaysia susulan beberapa insiden seperti kejadian bendera terbalik beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, semua itu berubah selepas mengenali Malaysia dengan lebih dekat dan dia juga mempunyai ramai kenalan dari negara ini yang kembali dalam talian.

"Pada saya kita sebagai negara yang berjiran dan serumpun adalah seperti adik-beradik dan perlu buang stigma negatif antara satu sama lain. Rakyat kedua-dua negara perlu kenal dan saling memahami seperti pepatah tak kenal maka tak cinta

"Indonesia adalah keutamaan saya dan rasa cinta tanah air sangat menebal selain berbangga dengannya tetapi saya juga suka Malaysia yang sudah dianggap seperti rumah kedua," katanya memberitahu di tempat asalnya juga ada laksa, kuih onde-onde, ketayap dan nasi dagang mengikut ciri tempat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 1:08 PM