GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Berlakon sebagai rakan lama sebelum menggodam nombor Whatsapp dan menghantar mesej kepada kenalan mangsa bagi meminjam sejumlah wang.

Itu taktik baharu digunakan sindiket penipuan bagi memperdaya orang ramai dengan menyamar sebagai kenalan mereka untuk mendapatkan 'pinjaman' wang.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, 50-an, berkata dia mendapat permintaan sebagai rakan di Facebook daripada seorang lelaki pada awal bulan ini.

Ali berkata, selepas menerima permintaan itu, lelaki terbabit menghubunginya dengan menghantar mesej di aplikasi Messenger dan memaklumkan dia kenalannya yang dikenali ketika sama-sama menunaikan umrah pada 2014.

"Lelaki itu kerap menghantar mesej kepada saya di Messenger dan menceritakan mengenai aktiviti kami yang kononnya sama-sama menunaikan umrah ketika itu.

"Saya tidak begitu mengenalinya memandangkan ramai jemaah yang dikenali ketika berada di sana. Namun, apa yang diceritakannya lebih kurang sama dengan pengalaman dilalui saya di sana (Makkah)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, selepas beberapa hari berbalas mesej di Messenger, lelaki terbabit meminta nombor digunakan pada Whatsapp dengan alasan mahu meneruskan komunikasi mereka dengan lebih 'rapat', semalam.

"Tanpa mengesyaki sesuatu yang buruk, saya memberikan nombor telefon kepadanya sebelum lelaki itu meminta saya menyerahkan nombor kod enam digit yang saya terima kononnya supaya dia dapat menyimpan nombor saya untuk berkomunikasi.

"Sebaik menyerahkan kod itu, saya tidak dapat mengakses Whatsapp menggunakan nombor telefon terbabit akibat disekat," katanya yang juga seorang penjawat awam.

Katanya, dirinya mula menerima panggilan daripada beberapa rakannya, semalam, memaklumkan mereka menerima mesej di Whatsapp memberitahunya mahu meminjam sejumlah wang.

"Saya amat terkejut apabila dimaklumkan perkara itu. Sehingga hari ini, lebih 30 kenalan saya menerima mesej daripada nombor saya di Whatsapp yang memaklumkan mahu meminjam wang antara RM1,000 hingga RM3,000.

"Namun setakat ini, tiada kenalan saya yang terpedaya dengan helah itu kerana kebanyakan mereka menyedari bahawa mesej berkenaan bukan dihantar oleh saya berdasarkan penggunaan ayat saya yang berlainan daripada mesej terbabit," katanya yang membuat laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Jinjang, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, setakat ini, belum ada laporan diterima pihaknya berhubung perkara itu.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya melakukan semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi pemindahan wang bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Individu yang menjadi mangsa penipuan sindiket ini diminta tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 4:26 PM