Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Cubaan menyeludup masuk lebih 5.77 juta batang rokok seludup yang diikrar sebagai mi segera dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor, 26 Oktober lalu.

Rampasan dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang bersama Cawangan Narkotik Ibu Pejabat, jam 3.15 petang ke atas sebuah kontena di pelabuhan berkenaan.

Pengarah Kastam negeri, Hamisan Kalip berkata, pemeriksaan menemukan 1,832 kotak mengandungi rokok putih tidak berkastam bersama mi segera yang dianggarkan bernilai lebih RM4.16 juta, termasuk cukai.

"Siasatan awal mendapati, kontena itu dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan serta syarikat penghantaran dan logistik yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang.

"Taktik digunakan adalah dengan mengikrar dagangan sebagai mi segera yang mana sebahagian kotak mengandungi mi segera manakala yang lain mengandungi rokok dicampur dengan mi segera terbabit," katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal, di sini, hari ini.

Jelasnya, melalui dokumen yang diperoleh, dagangan itu disyaki berasal dari sebuah negara di Asia Barat.

"Kami menahan seorang pengarah syarikat penghantaran dan logistik berusia 47 tahun untuk siasatan lanjut sebelum dia dibebaskan dengan jaminan.

"Berdasarkan semakan, pengarah itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

"Namun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti suspek lain yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, Seksyen 135(1)(g) akta sama serta Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 12:57 PM
Hamisan Kalip menunjukkan rokok putih yang dirampas ketika sidang media di Stor Simpanan Kastam Bagan Jermal. FOTO DANIAL SAAD
Hamisan Kalip menunjukkan rokok putih yang dirampas ketika sidang media di Stor Simpanan Kastam Bagan Jermal. FOTO DANIAL SAAD