ROKOK putih tidak bercukai yang dirampas. FOTO Ihsan JKDM.
ROKOK putih tidak bercukai yang dirampas. FOTO Ihsan JKDM.
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan penyeludupan 6,469,600 batang rokok putih yang tidak berkastam pelbagai jenama, disyaki untuk pasaran tempatan, Khamis minggu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan) JKDM, Datuk Johari Alifiah berkata, operasi itu dijalankan Unit Siasatan Dalaman (USD) bersama Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Pulau Pinang.

"Pada 1 Oktober lalu, antara jam 10 hingga 11.30 pagi, JKDM Pulau Pinang menahan sebuah kontena di Pelabuhan Utara yang mengandungi dagangan rokok putih tidak berkastam pelbagai jenama, disyaki untuk pasaran tempatan.

"Kontena itu dibawa ke Stor Penguatkuasaan, Kompleks Pencegahan Negeri, JKDM Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan mendapati kontena bermuatan 647 mastercase (6,469,600 batang rokok) pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM517,568.00 dan duti / cukai dianggarkan RM4,321,692.80," katanya dalam kenyataan hari ini.

Johari berkata, siasatan awal mendapati kontena di Pelabuhan Utara itu dikendalikan sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang, di sini.

"Melalui dokumen yang diperoleh, dagangan ini disyaki berasal dari sebuah negara di Asia Timur.

"Modus Operandi digunakan adalah dengan mengikrar dagangan sebagai 22 karton 'Message Box Cabinet' dalam Bill of Lading, Arrival Notice dan Manifes Import (K4)," katanya.

Beliau berkata, kesemua rokok putih tidak berkastam itu dimuatkan di dalam 22 kotak kayu besar berukuran 2.30 meter panjang, 1.04 meter lebar dan 1.32 meter tinggi.

"Sebahagian daripada 22 kotak kayu turut diselitkan tong sampah plastik bagi tujuan memadatkan muatan di dalam kotak kayu dan dalam masa sama untuk mengaburi pihak

berkuasa supaya tidak mengesyaki kotak kayu berisi rokok putih.

"Sebahagian mastercase rokok dibalut menggunakan guni plastik berwarna hijau, guni plastik berwarna putih dan ada yang dimasukkan ke dalam satu kotak lain.

"Kes ini sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 atas cubaan mengelakkan dengan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import di bawah Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 serta cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais di bawah Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 2:33 PM