Nur Elysa Amirah Suhaimi

Kuala Lumpur: Kerajaan bercadang mengetatkan peraturan pengambilan pengasuh susulan kes kematian bayi dan kanak-kanak yang berada di bawah pusat jagaan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan tapisan kepada pengasuh sebelum boleh bekerja di mana-mana pusat asuhan.

"Saya sudah berbincang dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay supaya membenarkan kami melakukan penapisan kepada pengasuh dan mereka bersetuju.

"Usaha ini adalah untuk memperketatkan faktor keselamatan dan kebajikan kepada kanak-kanak itu walaupun menjadi halangan kepada pengasuh.

"PDRM sudi bekerjasama dengan kementerian untuk melakukan pemeriksaan latar belakang sama ada individu yang bakal menjadi pengasuh itu ada rekod jenayah atau tidak.

"Kementerian juga akan membuat pemeriksaan bersama pihak berkaitan bagi memastikan individu itu benar-benar layak dan mampu serta bukan dalam kalangan orang asing," katanya selepas merasmikan program Advokasi Antigangguan Seksual kerjasama KPWKM bersama Express Rail Link (ERL) Sdn Bhd di Balai Pelepasan KLIA Ekspres, KL Sentral hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff; Ketua Pegawai Eksekutif ERL Sdn Bhd, Noormah Mohd Noor dan Pengurus Kumpulan Pengurusan Sumber Manusia ERL Sdn Bhd, Suriani Farisa Md Isa.

NANCY pada sidang media selepas  Majlis Perasmian Pusat Sokongan Sosial Setempat Transit Yayasan Kebajikan Negara. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NANCY pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pusat Sokongan Sosial Setempat Transit Yayasan Kebajikan Negara. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Nancy berkata, kementerian perlu menghormati dan mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa khususnya PDRM dalam usaha menapis pengambilan pengasuh.

"Kita memang berusaha tetapi PDRM mempunyai peraturan lebih teratur daripada segi keselamatan penghuni pusat asuhan supaya menepati kriteria diperlukan.

"Kerjasama orang awam juga diperlukan untuk memaklumkan kepada kami mengenai kes yang membabitkan penderaan kanak-kanak di pusat asuhan," katanya.

Sementara itu, mengenai isu gangguan seksual, beliau mengalu-alukan koc wanita diperluaskan dalam semua pengangkutan awam bagi menangani masalah itu.

Beliau berkata, pihaknya sedia maklum gangguan seksual bukan saja berlaku kepada golongan dewasa malah kanak-kanak.

"Kita berharap masyarakat dapat memahami usaha yang dijalankan bagi membantu mereka kerana gangguan seksual ini boleh berlaku di mana-mana saja dan semua golongan termasuk kanak-kanak,

"Sehubungan dengan itu, perkhidmatan koc wanita dalam pengangkutan awam adalah langkah mengatasi masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 5:23 PM