ERL bekerjasama  dengan KPWKM mengadakan program Together We Stand Against Harassment: #HentikanGangguanSeksual yang diadakan di KL Sentral, baru-baru ini.
ERL bekerjasama dengan KPWKM mengadakan program Together We Stand Against Harassment: #HentikanGangguanSeksual yang diadakan di KL Sentral, baru-baru ini.
NANCY dan Noormah turut mengedarkan bahan kempen anti gangguan seksual kepada orang ramai.
NANCY dan Noormah turut mengedarkan bahan kempen anti gangguan seksual kepada orang ramai.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


GANGGUAN seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada berlainan atau sesama jantina.

Kes gangguan seksual dikatakan semakin meningkat dan secara dominannya ia lebih banyak dialami golongan wanita berbanding lelaki.

Namun, sama ada secara terang-terangan (berdepan) atau gangguan seksual dalam talian, perlakuan jijik itu tidak sewajarnya dianggap isu yang kecil, remeh dan kurang penting.

Ini kerana ia memberi kesan negatif terutamanya kepada psikologi mangsa seperti trauma, fobia, takut dan seterusnya menjejaskan rutin harian, produktiviti, kesejahteraan dan kehidupan secara keseluruhannya.

Justeru, masyarakat perlu lebih peka mengenai isu berkenaan memandangkan sesetengah pelaku mungkin menganggap tindakan mereka sebagai jenaka yang tidak berbahaya atau salah faham.

Normalisasi pelakuan itu seharusnya tidak boleh berlaku kerana tiada ruang langsung yang wajar diberikan kepada gangguan seksual, sama ada secara terang-terangan atau jenaka.

Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu gangguan seksual, Express Rail Link (ERL) bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengadakan program Together We Stand Against Harassment #HentikanGangguanSeksual yang diadakan di KL Sentral, baru-baru ini.

MASYARAKAT perlu lebih peka mengenai isu berkenaan.
MASYARAKAT perlu lebih peka mengenai isu berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Express Rail Link, Noormah Mohd Noor berkata, antara langkah yang sudah dan sedang diambil pihaknya untuk membendung kes gangguan seksual dan menyediakan persekitaran yang selamat kepada kakitangan serta penumpang tidak kira wanita, lelaki mahupun kanak-kanak ialah mempamerkan notis di tempat kerja, stesen-stesen dan di dalam tren ERL selaras dengan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022.

Kata beliau, pihaknya juga mengamalkan 'whistleblowing policy' yang merangkumi topik gangguan seksual di tempat kerja.

"Semua kakitangan kami diberi taklimat gangguan seksual dan saluran komunikasi yang boleh digunakan jika mereka mengalami sebarang gangguan.

"Ini penting bagi mewujudkan budaya kerja yang sihat dan selamat.

"Selain itu, pengumuman khidmat masyarakat dan poster Talian Kasih di stesen-stesen dan di dalam tren berkenaan bantuan untuk gangguan seksual akan juga diperkenalkan mulai bulan ini," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

DEMONSTRASI ringkas pertahanan diri dan aktiviti senaman POUND untuk orang ramai.
DEMONSTRASI ringkas pertahanan diri dan aktiviti senaman POUND untuk orang ramai.

Kempen berkenaan dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan hadir sama timbalannya, Datuk Aiman Athirah Sabu.

Dalam ucapan perasmiannya Nancy berkata, gangguan seksual dalam pengangkutan awam juga bukanlah isu baharu di negara ini malah ia turut berlaku di seluruh dunia.

Perkara itu kata beliau, membuatkan ramai wanita berasa terancam dan tidak lagi berasa selamat untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

"Cabaran utama dalam menangani gangguan seksual adalah pemahaman masyarakat akan keseriusan isu itu.

"Sesetengah pelaku mungkin menganggap tindakan mereka sebagai jenaka yang tidak berbahaya tetapi apa-apa bentuk gangguan seksual boleh membuka jalan kepada jenayah seksual yang lebih serius seperti cabul dan rogol.

MASYARAKAT harus diberi maklumat mengenai keseriusan isu yang sering dianggap remeh atau kurang penting.
MASYARAKAT harus diberi maklumat mengenai keseriusan isu yang sering dianggap remeh atau kurang penting.

"Dengan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai gangguan seksual dan kesan terhadap mangsa, kita dapat membantu orang ramai untuk lebih memahami isu ini dan mencipta persekitaran yang lebih selamat," katanya.

Sementara itu, Nancy berkata, Program Usahasama Strategik @Advokasi Antigangguan Seksual bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan berterusan seiring dengan hasrat kerajaan menghapuskan budaya menormalisasikan gangguan seksual dalam kalangan rakyat.

Program itu adalah kesinambungan kepada Jerayawara KASIH KPWKM @advokasi antigangguan seksual.

Kata beliau, kebersamaan dan kolaborasi strategik antara agensi Kerajaan dan sektor korporat hari ini diharap dapat diteruskan selain diperkuatkan untuk mengekang gangguan seksual dan mencipta persekitaran selamat untuk semua lapisan masyarakat.

GANGGUAN seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
GANGGUAN seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

"Justeru, inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Pengangkutan untuk menyediakan koc wanita untuk perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang (yang sudah dimulakan) turut disambut baik.

"Diharapkan inisiatif seperti itu dapat diperluas kepada pengangkutan awam lain bagi membanteras gejala gangguan seksual.

"Ini kerana usaha pencegahan dan kesedaran terhadap gangguan seksual adalah tanggungjawab yang perlu dipikul bersama semua pihak supaya dapat mewujudkan ekosistem dan persekitaran yang selamat serta kondusif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 6:20 AM