SITI Aisyah (dua dari kiri) bersama ibu dan abangnya di rumah mereka di Kampung Serting Ilir. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
SITI Aisyah (dua dari kiri) bersama ibu dan abangnya di rumah mereka di Kampung Serting Ilir. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Status Orang Kurang Upaya (OKU) seorang wanita mualaf tidak menjadi penghalang buatnya untuk berbakti menjaga ibu dan abangnya yang sakit di Kampung Serting Ilir, di sini.

Siti Aisyah Chin, 45, yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan menjaga ibunya, Chen Yok Long, 85, dan abangnya, Hassan Hiew, 65, yang menghidap sawan.

Hassan berkata, Siti Aisyah menjadi harapan keluarga termasuk menguruskan ibu yang terlantar.

"Saya memang sudah lama tidak berkerja disebabkan faktor usia dan penyakit yang dialami sejak sekian lama.

"Siti Aisyah dulu pernah bekerja namun selepas kami sekeluarga berpindah dari Seremban dan tinggal di sini, hampir setahun dia tidak bekerja.

"Kami berpindah pun disebabkan mahu mendalami agama Islam di sini disebabkan ada keluarga angkat yang juga mualaf di sini," katanya ketika ditemui hari ini.

Hassan berkata, dia memeluk Islam pada Ogos tahun lalu, disusuli ibu dan adiknya pada Mei lalu.

Katanya, ketika ini, kesihatan ibu semakin merosot, ingatan terjejas dan tidak lagi mampu berjalan berikutan sakit pada belakang akibat terjatuh bulan lalu.

"Ibu memerlukan lampin pakai buang, susu dan ubat-ubatan namun dengan bantuan bulanan yang diterimanya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan ia tidak mencukupi.

"Tetapi kami bersyukur, ujian yang menimpa kami ini mendapat perhatian pemimpin setempat yang datang memberikan bakul makanan dan bertanyakan khabar," katanya.

Sementara itu, keluarga angkatnya, Nur Atiqah Lew Lew Fut Nean, 56, berkata, ibu Siti Aisyah yang dikenali sebagai nenek Chin memerlukan katil boleh laras bagi tujuan memudahkan penjagaannya.

"Hari ini Aisyah ada sesi temu duga di sebuah pasar raya di Bahau. Sekiranya dia berjaya, sedikit sebanyak dia dapat membantu keperluan keluarganya," katanya.

Sekiranya orang ramai ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga nenek Chin, boleh menghubunginya di talian 012-6709186 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 5:46 PM