Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Penoreh getah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan cuba membunuh polis menggunakan kapak, minggu lalu.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim, Rohaida Ishak terhadap tertuduh, Mohamad Saidi Che Omar, 31, susulan pengakuan itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa cuba membunuh Reymee Abdul Rahman, 38, dengan melibas kapak ke kepala dan lengan mangsa di kebun kelapa sawit FELDA Bersia di Gerik, 11.30 pagi, 17 Oktober lalu.

Ia merupakan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, serta jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan maka hukuman penjara itu boleh dikenakan sehingga 20 tahun.

Hakim turut menetapkan tambahan lima bulan penjara terhadap tertuduh jika gagal membayar denda RM3,000 yang dikenakan.

Hukuman penjara lapan tahun itu bermula dari tarikh penangkapan tertuduh iaitu pada hari yang sama kesalahan itu dilakukan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi.

Mengikut fakta kes, serangan tertuduh berlaku ketika mangsa yang juga anggota polis berpangkat koperal bersama seorang lagi polis berpangkat lans koperal sedang melakukan tugas risikan di kebun kelapa sawit berkenaan menaiki motosikal.

Motosikal dinaiki dua anggota polis itu kemudiannya berselisih dengan motosikal yang ditunggang tertuduh. Dua polis berkenaan memberhentikan motosikal dan memperkenalkan diri untuk menjalankan pemeriksaan terhadap tertuduh, sebelum tertutuduh memberhentikan motosikalnya lalu menyerang anggota polis terbabit.

Bagi mempertahankan diri sejurus cedera diserang, mangsa melepaskan dua das tembakan yang mengenai lutut kanan tertuduh. Pergelutan berlaku selepas itu untuk menangkap tertuduh dan sejurus ditangkap, pemeriksaan menjumpai dadah methamphetamine serta ganja di dalam poket seluar tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 12:29 PM
 Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan cuba membunuh polis menggunakan kapak, minggu lalu. FOTO L.MANIMARAN
Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan cuba membunuh polis menggunakan kapak, minggu lalu. FOTO L.MANIMARAN