Alias Abd Rani


Batu Pahat: Pekerja landskap mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang jemaah wanita di sebuah surau di Parit Raja, di sini, awal bulan ini.

Tertuduh Mohammad Sah Taswat, 29, yang masih bujang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja melakukan kekerasan jenayah serta berniat untuk mencabul kehormatan seorang jemaah berusia 29 tahun di ruang solat wanita, pada 1.20 tengah hari, 8 Mac lalu.

Hukuman bagi pertuduhan mengikut seksyen terbabit ialah penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan ataupun dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa berada di ruang solat wanita sebelum disapa oleh tertuduh.

Tertuduh kemudian menutup pintu dan duduk di sebelah mangsa sebelum bertindak memegang paha wanita itu.

Terkejut dengan tindakan tertuduh, mangsa bertindak melarikan diri bagi mendapatkan bantuan serta membuat laporan polis.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid, manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, tertuduh menerusi peguamnya memilih untuk hukuman denda minimum kerana perlu menanggung kedua ibu bapanya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tindakan dilakukannya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 selain memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mohammad Sah didenda RM3,000 selepas mengaku mencabul jemaah wanita di sebuah surau dekat Parit Raja, Batu Pahat. FOTO Alias Abd Rani
Mohammad Sah didenda RM3,000 selepas mengaku mencabul jemaah wanita di sebuah surau dekat Parit Raja, Batu Pahat. FOTO Alias Abd Rani

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 12:57 PM