Raja Noraina Raja Rahim


LELAKI warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas kesalahan memberi rasuah RM85 kepada anggota polis Januari lalu.

Hukuman itu dijatuhi Hakim Madiha Abdullah selepas tertuduh Mustapha Kamal Mohd Hashim, 26, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh yang memegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Penguat kuasa SPRM mengiringi tertuduh yang dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Penguat kuasa SPRM mengiringi tertuduh yang dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan suapan wang tunai RM85 kepada Koperal Muhammad Hafizuddin Wahab sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana didapati menunggang motosikal tanpa lesen sah.

Kesalahan itu dilakukan di Taman Jujur, Sikamat 1 tengah hari 7 Januari lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 3:49 PM