Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Oleh Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menafikan menerima sebarang arahan daripada mana-mana pihak untuk melalukan siasatan terhadap projek percetakan buku bernilai RM80 juta yang dikaitkan dengan bekas Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan berkaitan isu itu sudah dimulakan sejak Ogos lalu.

"Kita sudah mulakan siasatan membabitkan kes ini kira-kira sebulan lalu. Laporan ini yang dibuat oleh sekumpulan individu baru-baru ini hanya maklumat tambahan yang boleh diambil kira SPRM," katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Biro Undang-Undang Bersatu Sasha Lyna Abdul Latif menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menyalahgunakan agensi penguatkuasaan untuk mengganggu seteru politiknya.

Ini kerana beberapa tangkapan dilakukan oleh SPRM selepas berlakunya insiden pertelingkahan antara Ahli Parlimen Tambun itu dengan Ahli Parlimen Putrajaya terbabit di Dewan Rakyat, 19 September lalu.

Mengulas mengenai dakwaan berkenaan, Azam berkata, SPRM berkecuali dan akan melakukan siasatan tanpa tekanan daripada sebarang pihak.

Ditanya bila Radzi akan dipanggil untuk membantu memberikan keterangan, Azam berkata, perkara itu terpulang kepada pasukan penyiasatnya.

"Bila akan panggil belum tahu lagi kerana saya serahkan kepada pegawai penyiasat dan terpulang kepada mereka tentukan bila akan dipanggil jika ada keperluan," katanya.

Sehingga kini seramai lima saksi sudah diambil keterangan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung projek percetakan buku itu.

Kesemua keterangan saksi itu diambil selepas dua individu termasuk setiausaha politik kepada seorang bekas menteri ditahan, Ahad lalu.

Pada 25 September lalu, Radzi dalam satu kenyataan mengakui bekas setiausaha politiknya ditahan SPRM berhubung dakwaan rasuah melibatkan RM80 juta berkaitan pencetakan buku J-Qaf untuk prasekolah.

Namun beliau menafikan terbabit dalam projek rundingan terus percetakan buku berkenaan ketika memegang jawatan menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 4:10 PM