SAIFUDDIN ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat. FOTO Bernama
SAIFUDDIN ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Sebanyak 104 kertas siasatan dibuka setakat ini mengenai isu kaum, agama dan raja (3R).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan yang dibuat membabitkan ahli politik daripada pihak pembangkang dan kerajaan.

Katanya, siasatan isu 3R tertakluk kepada panduan undang-undang sedia ada iaitu mengikut Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan Perlembagaaan Persekutuan.

Beliau berkata, kenyataan dan nasihat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyentuh isu 3R adalah satu kenyataan yang jelas.

"Bila disebut (oleh pembangkang) Pakatan Harapan menolak Islam, menyokong komunis, puak yang khianat dan puak yang menolak raja. Bila pula kita tolak raja?

"Ini diungkap dalam perutusan video Kuliah Duha (di) Masjid Rusila 14 Oktober 2022. Jadi terpaksa aduan dibuat dan disiasat. Dalam konteks inilah Ketua Polis Negara memberi nasihat," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang meminta agar Saifuddin menasihatkan Razarudinagar menarik semula kenyataannya agar mana-mana pihak tidak bercakap mengenai isu 3R.

Muhyiddin turut menyatakan bahawa sehingga kini, beliau telah lima kali disiasat berkait isu 3R.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, polis hanya akan menyiasat sekiranya ada aduan dibuat.

"Nak cakap tentang bangsa kita, kasih sayang pada bangsa, bangsa mesti rajin, bangsa mesti terus maju, tingkatkan martabat dan kemuliaan tiada salah apa-apa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 12:51 PM