Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyangkal dakwaan kegagalan pemulihan ekonomi negara ketika ini salah satunya berpunca disebabkan jawatan Menteri Kewangan disandang oleh Perdana Menteri.

Rafizi turut tidak bersetuju dengan saranan dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) agar Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik seorang Menteri Kewangan penuh.

Menurutnya, ini kerana Perdana Menteri adalah individu yang paling layak untuk memegang jawatan Menteri Kewangan dalam memastikan isu tatakelola perolehan telus dan tidak berlaku seperti pentadbiran terdahulu.

"Silapnya sebelum ini kerana Perdana Menteri memusatkan semuanya kepada dia. Jadi dia tidak sempat buat. Sekarang ini, dari segi pecahan kerja, sebahagian besar dari segi perancangan pelan ekonomi dan dasar sederhana serta jangka masa panjang ditentukan oleh Kementerian Ekonomi.

"Kemudian, pelaksanaan itu diusahakan bersama dengan kementerian-kementerian yang memang ada mandat dan tanggungjawab itu.

"Urusan dari segi tatakelola kerana Menteri Kewangan bertanggungjawab memastikan proses perolehan itu benar-benar telus dan disebabkan itu pandangan saya, tokoh yang paling baik untuk menjadi Menteri Kewangan ialah Perdana Menteri," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

RAFIZI Ramli. FOTO Bernama
RAFIZI Ramli. FOTO Bernama

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Muhyiddin yang bertanyakan walaupun sudah setahun kerajaan ini ditubuhkan, tetapi rakyat dan penganalisis masih belum yakin mengenai pemulihan ekonomi negara.

Muhyiddin berkata, salah satu sebabnya adalah disebabkan jawatan Menteri Kewangan itu kini disandang oleh Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Rafizi turut mempersoalkan kenyataan dibuat Muhyiddin mengenai pemulihan ekonomi negara yang sehingga kini tidak pulih.

"Dekat mana Pagoh kata ekonomi tidak pulih? Saya nak tanya balik kepada Pagoh. Semasa Pagoh dan Perikatan Nasional jadi kerajaan 33 bulan, pernahkah ada tiga suku berturut-turut, yang ada pertumbuhan ekonomi dari satu suku ke satu suku. Pernah ada tak? Tak pernah ada.

"Ini kali pertama sejak bertahun-tahun kita menyaksikan bahawa pertumbuhan ekonomi negara dari satu suku ke satu suku berlaku dalam tiga suku berturut-turut yang tidak pernah berlaku.

"Kemiskinan paling rendah, kenaikan gaji lebih tinggi daripada sebelum ini, pertumbuhan ekonomi momentum baik dan inflasi paling rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 12:03 PM