KHAI masih mengejar gelaran sebagai anak seni terbaik dengan tidak putus.
KHAI masih mengejar gelaran sebagai anak seni terbaik dengan tidak putus.
Georgie Joseph

KIAN terpahat kukuh dalam industri seni, hakikatnya Khai Bahar bukan satu nama yang orang akan terlepas pandang. Profilnya berlegasi besar selain memiliki antara kubu peminat yang amat kukuh.

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 30, beruntung kelab peminatnya Khai Bahar Empire (KBE) sentiasa teguh bersatu. Bahkan, langkah ambil berat mereka terhadapnya melebihi segalanya.

Ia sehingga ke tahap merekalah juga pelindung jika penyanyi Bayang ini tersasar langkah. Teguran mereka amat ditatang tinggi olehnya dan memang terbit rasa serba-salah jika usahanya masih tidak cukup.

Ikrar dirinya tidak putus demi mengejar profil tersanjung sebagai artis disegani. Namun, katanya dia tetap rasa dirinya masih menapak ke tahap itu dan tidak terlepas buat silap kadangkala.

"Saya pun teringin nak pegang gelaran sebagai anak seni yang terbaik. Tapi saya gagal lagi dan saya harap mereka semua bersabar dengan apa yang cuba usahakan. Bila fikir dan tengok betul-betul, siapa jaga siapa, mereka yang menjaga saya.

"Saya memang tak reti menjaga diri-sendiri. Bila saya buat silap sedikit, mereka yang pertama menegur saya. Kadangkala hal itu isunya kecil saja. Pada pandangan saya, tak ada apa-apa, okay kot.

"Tapi mereka suruh saya padam, takut ada isu. Kadang-kadang saya pun berdepan emosi contohnya rindu mak. Atau ada luahan saya terasa dengan orang-orang sekeliling yang tak faham. Niat cuma nak kongsi di Instagram," katanya.

Dalam pada menjaga rapi nada karakter sebagai anak seni dan manusia biasa, Khai depani sebaiknya salah faham orang terhadap dirinya. Apalagi hal membabitkan kontroversi atau spekulasi yang mampu mencalar namanya.

Tapi seperkara pasti, dia sentiasa tahu KBE adalah saluran pertama terpenting yang paling percaya padanya. Justeru, mensyukuri rezeki itu sudah menjadi pegangan kukuh dalam dirinya.

"Untuk menjadi diri sendiri itu boleh. Tapi untuk meyakinkan orang itulah saya, agak susah. Disebabkan tanggapan terhadap pelbagai karakter saya, pelbagai spekulasi timbul.

"Peminat saya mungkin faham tapi orang luar yang tak kenal saya, mereka akan persoalkan. Saya sayang semua peminat saya sebab selama saya kenal mereka, saya sedar mereka yang menjaga saya," katanya.

Sepanjang karier seninya, dugaan besar pemergian ibu tercinta pada pada Januari lalu memang paling meninggalkan impak perit buatnya.

Sedayanya dia cuba menerima dan berdamai dengan takdir yang sudah diaturkan oleh Tuhan.

Tatkala jiwanya berperang menerima takdir itu, dirinya tetap menjadi sasaran dilempar fitnah dan kontroversi. Sepertinya wujud cubaan demi cubaan untuk menjatuhkan nama baiknya selama ini.

Antara yang terbaru, Khai didakwa kerap suka berparti dan berhibur. Apapun, dia enggan terlalu 'melayan' namun masih terkilan kerana dirinya kerap terpalit dengan tuduhan liar seumpama.

"Saya hairan juga sebab ada sahaja dakwaan yang tidak benar tercetus. Namun, saya yakin kenalan terdekat tidak akan sesekali menyebarkan fitnah untuk menjatuhkan saya.

"Apabila orang sibuk buat fitnah, kita mahu lawan pun tak guna. Ikut suka mereka hendak cakap apa, kalau sudah penat, mungkin ketika itu mereka akan berhenti," katanya.

Selain KBE, sistem sokongan pertamanya yakni keluarga tercinta sentiasa percaya dan tidak mempersoalkan kehidupan peribadinya selama ini. Merekalah tempatnya mengadu sekarang selepas ibunya tiada.

"Keluarga tidak pernah tanya sebab mereka kenal siapa saya. Kalau nak kata suka berparti, saya jarang lepak dengan kawan-kawan. Selepas Allahyarham ibu disahkan sakit dua tahun lalu, saya sudah bataskan aktiviti luar sebab tidak mahu diri sendiri terleka dengan duniawi.

"Sekarang selepas ibu pergi pun, saya lebih senang duduk rumah. Entahlah, rasa kosong dan tiada adrenalin untuk berhibur seperti dahulu kala," katanya.

Apapun, baginya dia bukan jenis menyimpan dendam dan lebih tenang apabila ambil pendekatan memaafkan. Ketenteraman mentalnya lebih penting berbanding gangguan seperti memburukkannya.

"Saya bukan jenis yang mudah benci atau marah orang. Kalau marah sekalipun, saya yang akan rasa bersalah dan pada akhirnya, saya minta maaf terlebih dahulu. Bila marah, jiwa rasa tidak tenang.

"Jadi, jika ada orang cuba cari pasal, saya biarkan sahaja. Ketika ini, saya hanya fokus kepada mereka yang menyayangi dan menghormati saya," katanya.

Impian tercapai bekerja dengan Ajai

Menyentuh perihal kerjaya terbarunya, Khai cukup teruja apabila akhirnya impian bekerja dengan komposer tersohor, Ajai jadi kenyataan. Dia tampil mempertaruh single ciptaan Ajai berjudul Bawa Hatiku Bersama Kamu.

"Ini lagu pertama saya bekerjasama dengan Ajai yang menjadi antara peluang hebat saya dapat sebagai penyanyi. Karya ini sangat penting untuk portfolio saya, genre lagunya juga berbeza daripada yang sering saya nyanyikan sebelum ini.

"Proses rakaman lagu ini bermula selepas Isyak sehingga jam 3 pagi. Memang lama tapi saya ikutkan sahaja selagi Ajai tidak puas. Banyak yang saya pelajari sepanjang bekerja dengan Ajai ditambah pula dia memang seorang yang teliti, jadi memang ambil masa lama.

"Saya akui warna nyanyian dalam lagu ini memang tampak berbeza berbanding corak pembawaan genre balada sebelum ini. Hasilnya sekarang memang hebat tetapi kalau diberi peluang rekod sekali lagi pun saya mahu," katanya.

Bagaimanapun, selepas mendengar hasilnya, Khai mengakui berpuas hati dan seronok kerana cara nyanyiannya sangat berbeza. Dia pasti pembawaannya terhadap lagu itu akan terus diperbaiki jika kerap dipersembahkan.

"Selain muzik berbeza kerana terdapat sentuhan R&B yang belum pernah saya bawakan sebelum ini, cara penyampaian juga berbeza terutama dari segi lenggok nyanyian.

"Kelab peminat saya sudah pun mendengar lagu ini dan mereka suka. Insya Allah, jika saya kerap membawakan lagu ini dalam mana-mana acara secara 'live', mungkin nyanyian saya akan lebih baik lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 6:01 AM