Kakitangan awam, Irma Hanim Abdullah (kiri) bersama rakannya Nadrah Mohammad Hafizoo menunjukkan ciri baru dalam Mysejahtera iaitu modul MyMinda untuk saringan minda sihat serta perkhidmatan bantuan sokongan psikososial bermula hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Kakitangan awam, Irma Hanim Abdullah (kiri) bersama rakannya Nadrah Mohammad Hafizoo menunjukkan ciri baru dalam Mysejahtera iaitu modul MyMinda untuk saringan minda sihat serta perkhidmatan bantuan sokongan psikososial bermula hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Mahaizura Abd Malik


Petaling Jaya: Mulai hari ini, ciri baharu, MyMinda diperkenalkan dalam MySejahtera bagi membolehkan pengguna membuat penilaian status kesihatan mental masing-masing.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, orang ramai boleh mengakses soalan disediakan bagi melihat tahap status kesihatan mental masing-masing mulai hari ini.

Katanya, pengenalan MyMinda dalam MySejahtera itu menunjukkan komitmen KKM dalam meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan mental melalui digitalisasi selari dengan perkembangan teknologi digital.

"MyMinda sebagai satu komponen baharu dalam aplikasi MySejahtera yang terdiri daripada saringan minda sihat, sumber psiko pendidikan dan akses kepada talian bantuan psikososial.

"Kita harapkan orang ramai mengetahui status kesihatan masing-masing dengan menjawab soalan disediakan dalam MyMinda supaya kita kenal pasti sama ada ciri-ciri (kesihatan mental), tekanan dan sebagainya," katanya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, KKM akan mengumpul statistik dan membuat analisis terhadap dapatan berkenaan.

"Sebenarnya dari situ kita boleh jawab, dapat statistik tentang status kesihatan mental rakyat dan keduanya kita kena buat analisis apa simptom.

"Jika ada seperti yang dilihat hari ini banyak cara intervensi ada Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta banyak ruang.

"Paling penting masalah berkaitan kesihatan mental kalau mereka memerlukan intervensi awal, sudah ada tempat mendapatkan sokongan untuk apa saja jenis masalah sedang mereka hadapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 2:14 PM