Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Wilayah Persekutuan dikesan mempunyai penduduk tertinggi mengalami masalah kemurungan dan anxiety berdasarkan saringan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, dapatan itu diperoleh berdasarkan saringan membabitkan 336,900 penduduk di seluruh negara yang dilaksanakan tahun lalu.

"Antara faktor yang menyumbang kepada masalah kemurungan di Wilayah Persekutuan ialah kos sara hidup tinggi, miskin bandar, masalah perhubungan dengan ibu bapa dan rakan sebaya.

"Pada 2022, kita menjalankan saringan keseluruhan membabitkan 336,900 dan dalam keputusan itu, kita dapati negeri tertinggi alami masalah kemurungan dan anxiety ialah di Wilayah Persekutuan... orang Wilayah banyak masalah.

"Sebab seperti diketahui kos sara hidup yang tinggi, golongan B40 di Wilayah Persekutuan selain masalah perhubungan contohnya tekanan dari ibu bapa yang mahu anaknya menjadi menteri... kasihan anak-anak jadi tertekan," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

DR  Zaliha Mustafa. FOTO Azhar Ramli
DR Zaliha Mustafa. FOTO Azhar Ramli

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai negeri yang mempunyai kes tertinggi masalah gangguan mental.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata, kebanyakan masalah kesihatan mental yang dihadapi golongan muda termasuk remaja dan belia adalah dipengaruhi oleh faktor sosial seperti masalah kewangan, masalah perhubungan, buli, tingkah laku berisiko, penyalahgunaan substans, rasa rendah diri dan jangkaan yang tinggi terhadap diri sendiri yang menyumbang kepada stres yang tinggi, keresahan dan kemurungan.

"Inisiatif yang dijalankan KKM adalah perkhidmatan kesihatan mental disediakan di 1,161 Klinik Kesihatan, 58 hospital, 34 pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) dan empat institusi mental yang meliputi aspek promosi, pencegahan, pengesanan awal dan rehabilitasi.

"Program Minda Sihat Sekolah yang dilaksanakan secara kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan yang meliputi saringan dan intervensi menggunakan Modul Minda Sihat (KPM) dan Modul Kesihatan Mental Remaja (KKM), pelajar yang disaring dan dikenal pasti mengalami masalah emosi atau tingkah laku akan dirujuk untuk penilaian dan rawatan selanjutnya," katanya.

Beliau menjawab soalan asal Mohd Sany mengenai langkah KKM dalam mengatasi masalah kesihatan mental yang dialami oleh golongan muda dan juga warga emas di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 11:32 AM