FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Pengarah syarikat direman empat hari bermula hari ini kerana disyaki mengemukakan penyata bank mengandungi butir matan palsu berjumlah lebih RM170,000.

Perintah reman sehingga 21 Oktober itu dibenarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Menurut sumber, difahamkan, penyata bank yang mengandungi butir matan palsu itu adalah bagi mendapatkan kerja perkhidmatan pembersihan dan penyelenggaraan landskap sebuah bangunan.

Suspek berusia 30-an itu ditahan kira-kira 3.30 petang semalam di pejabat SPRM Selangor ketika dia hadir memberi keterangan.

"Suspek disyaki mengemukakan penyata bank yang mengandungi butir matan palsu bagi memenuhi syarat penilaian kewangan ketika menyertai perolehan secara sebut harga pada2019," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Beliau berkata, siasatan terhadap suspek dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 10:23 AM