Amir Mamat


Ayer Keroh: Bekas Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Lendu, Masjid Tanah, diperintah reman enam hari oleh Mahkamah Majistret di sini, bermula hari ini selepas dipercayai membuat tuntutan palsu bernilai hampir RM100,000, dua tahun lalu.

Perintah tahanan reman sehingga Isnin depan terhadap suspek berusia 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Difahamkan, suspek ditahan selepas disyaki membuat tuntutan yang mempunyai butir matan palsu berkaitan program yang dilaksanakan di kawasan Dun Lendu.

Suspek dipercayai mengemukakan kertas kerja kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah berjumlah RM97,868 sedangkan semua lapan program itu tidak dilaksanakan.

Kesalahan itu dilakukan antara Mac 2019 hingga Februari 2020 sebelum pentadbiran kerajaan negeri bertukar kepada pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali butir matan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri Mohd Shahril Che Saad mengesahkan penahanan suspek berkenaan dan katanya siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 1:20 PM