BERNAMA

Putrajaya: Pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen petang ini dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat.

Belanjawan 2024 adalah belanjawan kedua yang dibentangkan oleh beliau sejak menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Anwar, yang berpakaian Baju Melayu berwarna ungu muda lengkap bersamping, membawa beg dokumen berisi teks ucapan pembentangan Belanjawan 2024 sebelum meninggalkan Kementerian Kewangan pada 3.13 petang untuk ke Parlimen.

Beg dokumen Belanjawan 2024 berwarna hitam bermotifkan corak 'Arabesque' adalah hasil tangan seorang pengusaha batik tempatan berasal dari Kelantan.

Anwar ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir dua Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Terdahulu, sebelum memulakan perjalanan, Pegawai Hal Ehwal Islam Kementerian Kewangan Ustaz Mohamad Zukrillah Ismail mengetuai bacaan doa bagi mendapatkan keberkatan.

Belanjawan 2024 bertema 'Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat' adalah dasar penting dan menyeluruh selain memacu pertumbuhan ekonomi serta membela rakyat.

ANWAR bergambar sebelum ke parlimen untuk pembentangan bajet 2024 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
ANWAR bergambar sebelum ke parlimen untuk pembentangan bajet 2024 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 3:48 PM