Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Marrakesh: "Shukran lakum ayuha almaliziun" (Terima kasih rakyat Malaysia ). Itu kata-kata diucap berulang kali mangsa bencana gempa bumi sebaik menerima pelbagai bantuan disalurkan pertubuhan Muslim Care Malaysia Society (MCM).

Kegembiraan itu tidak dapat disembunyikan sebaik lori membawa sarat muatan sayur berhenti untuk menurunkan sumbangan khusus untuk penduduk di perkampungan terjejas.

Antara barangan disumbangkan MCM adalah lobak, bawang, cili, tomato, timun, kentang, terung dan pelbagai sayuran lain yang sering diperlukan dalam masakan masyarakat tempatan.

Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail yang mengetuai misi kemanusiaan antarabangsa MCM sejak seminggu lalu berkata, pihaknya menyedari keperluan mendesak mangsa yang mendiami khemah-khemah pelarian bencana sejak 28 hari lalu.

Menurutnya, MCM cuba membantu dengan membeli enam tan pelbagai sayur-sayuran yang disumbangkan kepada penduduk di lima kampung berasingan sepanjang banjaran Pergunungan Atlas di sini.

Beliau berkata, bantuan sayur-sayuran segar itu mampu menampung keperluan lebih 2,000 penduduk yang kini masih mendiami khemah pelarian bencana.

"Selain bantuan sayur-sayuran, MCM turut menyalurkan sumbangan lima ekor lembu seberat lebih 300 kilogram setiap seekor.

"Lembu itu disembelih dan dilapah beramai-ramai sebelum dagingnya diagihkan ke 20 perkampungan yang dihuni mangsa gempa bumi. Bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban ditanggung mangsa," katanya.

Tidak sekadar sumbangan jangka pendek, MCM turut bekerjasama dengan pertubuhan kebajikan tempatan Alofoq Charity berpangkalan di Casablanca.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 9:11 PM
Mohd Johari dan Safuan menyerahkan enam tan sayur-sayuran segar kepada mangsa gempa bumi di lima perkampungan di pergunungan Atlas
Mohd Johari dan Safuan menyerahkan enam tan sayur-sayuran segar kepada mangsa gempa bumi di lima perkampungan di pergunungan Atlas