MOHD Johari Ismail meninjau kemusnahan di salah sebuah perkampungan di pergunungan Atlas. FOTO Jamilul Anbia.
MOHD Johari Ismail meninjau kemusnahan di salah sebuah perkampungan di pergunungan Atlas. FOTO Jamilul Anbia.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Marrakesh, Maghribi: "Saya sudah melihat sendiri lokasi bencana gempa bumi di negara ini. Masih ada ruang untuk bantuan tambahan disalurkan kepada mangsa," kata Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) Mohd Johari Ismail yang mengetuai misi kemanusiaan ke negara ini.

Menurutnya, MCM segera mengumpulkan dana untuk disumbangkan kepada rakyat Maghribi yang terkesan akibat gempa bumi pada 8 September lalu.

"Berdasarkan tinjauan ke lapangan bencana sejak kelmarin, masih banyak perlu dilakukan bagi memastikan mangsa kembali kepada kehidupan normal.

"Rata-rata mangsa masih tinggal dan berlindung di dalam khemah kecil dibina di bawah pokok. Mungkin mereka memiliki bekalan bantuan makanan mencukupi namun isu kemudahan lain seperti bekalan air bersih dan elektrik, tandas dan surau.

"Situasi ini amat menyedihkan apatah lagi cuaca panas sedang melanda sejak minggu lalu," katanya.

Sementara itu Timbalan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Moroccan Biodiversity & Livelihoods Association (MBLA) Abdellah Aghraz berkata, gempa bumi yang menggoncang negara itu pada 8 September lalu sudah mengorbankan 2,946 nyawa dan menyebabkan 2,500 lagi cedera parah.

Menurutnya, rata-rata mangsa terbabit gagal menyelamatkan diri dan tertimbus dalam runtuhan kediaman atau bangunan.

"Kementerian Ekonomi dan Kewangan Maghribi memaklumkan bencana alam itu menyebabkan kerosakan di 2,930 kampung. Malah ia memberi kesan secara langsung kepada kehidupan sejumlah 2.8 juta rakyat negara ini yang kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian. Masih ramai mangsa dirawat di Hospital Marrakesh.

"Pusat gempa bumi terletak 73.4 kilometer di barat daya Marrakesh, berhampiran bandar Ighil dan wilayah High Atlas (Pergunungan Atlas ) menyebabkan kemusnahan ketara terutama kepada penduduk luar bandar.

"Gempa bumi yang berlaku amat kuat hingga boleh dirasai sehingga ke Sepanyol, Portugal dan Algeria. Ini adalah gempa bumi ke dua paling dahsyat direkodkan di Maghribi sejak gempa bumi di bandar Agadir berlaku pada 1960 dan membunuh 15,000 penduduk," katanya.

Menurutnya, sejurus bencana berlaku, MBLA segera bekerjasama rapat dengan komuniti tempatan di Marrakesh dan pergunungan Atlas bagi memberikan bantuan awal kecemasan kepada ribuan mangsa terutama di kampung sekitar Al Haouz.

"Usaha berterusan kami tertumpu pada memenuhi keperluan paling kritikal, termasuk perkhidmatan perubatan kecemasan, makanan, air bersih, tempat tinggal, pengangkutan dan kit kelengkapan kebersihan. Selain itu, kami komited sepenuhnya untuk membantu usaha pemulihan jangka panjang komuniti yang terjejas ini.

"Sebagai wakil MBLA, saya amat berbangga dengan kerjasama dan penyertaan Muslim Care Malaysia (MCM) dalam

menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana. Kesungguhan MCM untuk membina semua kediaman kekal, sekolah dan kemudahan lain amat menggembirakan kami," katanya ketika menemui Mohd Johari dan Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar.

Menurutnya, dia terharu dengan keprihatinan ditunjukkan rakyat Malaysia yang menyalurkan bantuan kepada rakyat negara itu.

Dia berkata, selain memberikan khidmat bantuan kepada rakyat memerlukan, MBLA turut mewujudkan peluang pertumbuhan dalam sektor keusahawanan luar bandar selain berkongsi teknologi pertanian.

"Kami akan menggunakan dana membina semula kediaman mangsa, menggabungkan teknik pembinaan tahan gempa bumi dan mewujudkan semula cara hidup mereka. Pendekatan kami diterajui komuniti dan mengutamakan keperluan mendesak mereka dalam beberapa bulan akan datang

"Kami mahu memastikan kehidupan dan mata pencarian ramai mangsa dipulihkan secepat mungkin," katanya yang turut memaklumkan pihaknya dibantu Persekutuan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 10:27 PM