HIASAN.
HIASAN.
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana menganiaya dan mengabaikan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun hingga menyebabkan kematian anak jirannya itu akibat lemas, bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Siti Aina Nurnisa Mohammad Sa'id, 25, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas seorang kanak-kanak dengan sengaja menganiaya dan mengabaikan mangsa hingga menyebabkan kematian akibat rendaman.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pangsapuri di Wangsa Maju, di sini, antara 11 pagi hingga 11.20 pagi pada 20 September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi mencadangkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Namun, peguam tertuduh, Muhammad Irsyad Mohamad Hassan memohon jaminan RM2,000 atas alasan anak guamnya perlu menanggung tiga anak serta ibu bapa.

Mahkamah membenarkan Siti Aina Nurnisa diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 November depan bagi sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 3:01 PM