Muhamad Lokman Khairi


Pasir Salak: Kerajaan mesti mempertingkatkan penguatkuasaan bagi mengatasi kejadian manipulasi bekalan beras oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Pasir Salak Bangkit, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, situasi bekalan beras putih tempatan (BPT) terhad ketika ini berkemungkinan berpunca daripada 'tangan ghaib' yang mengambil kesempatan.

Justeru itu, katanya, agensi penguatkuasaan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mesti tegas dalam melaksanakan pemantauan berterusan terhadap pengilang, pemborong dan penjual beras di pasaran.

"Dalam krisis sekarang, kadang-kadang ada pengilang dan pemborong ambil kesempatan dengan simpan stok beras ini.

"Seperti kita belajar konsep penawaran dan permintaan, apabila mereka simpan, bekalan di pasaran jadi kurang, maka mereka boleh naikkan harga. Ini perbuatan tak bertanggungjawab penggilang, pemborong dan penjual kedai.

"Jadi, penguat kuasa mesti tegas dan ambil tindakan berani, jangan hanya acah-acah sahaja. Pak Menteri tengok betul ke penguat kuasa buat kerja," katanya ketika ditemui di Dewan Besar Pekan Rabu, Chenderong Balai, di sini, hari ini.

Tajuddin mendakwa terdapat tanah berstatus pertanian padi sebelum ini ditukar sewenang-wenangnya oleh pemilik kepada ladang sawit, taman perumahan dan kilang perindustrian yang mengakibatkan usaha kerajaan meningkatkan penghasilan beras terbantut.

"Pejabat Tanah dan Daerah kena pantau tanah sawah, jangan dibiarkan bertukar jadi kebun kelapa sawit, taman perumahan atau tapak kilang.

"Ini akan kurangkan jumlah tanah yang boleh diguna untuk tanaman padi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 4:04 PM
TAJUDDIN bercakap kepada media ketika majlis sumbangan 500 kampit beras putih tempatan kepada penduduk di Sungai Manik. FOTO Muhamad Lokman Khairi
TAJUDDIN bercakap kepada media ketika majlis sumbangan 500 kampit beras putih tempatan kepada penduduk di Sungai Manik. FOTO Muhamad Lokman Khairi