TAJUDDIN (kiri) dan Chan. FOTO Arkib NSTP
TAJUDDIN (kiri) dan Chan. FOTO Arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Orang politik suka komen dan (beri) gambaran macam-macam, jadi terpulanglah kepada mereka.

"Tetapi saya alu-alukan sesiapa saja boleh jumpa saya atau Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras (untuk menyalurkan maklumat)," kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.

Beliau memberi reaksi itu bagi mengulas dakwaan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkenaan situasi bekalan beras putih tempatan (BPT) terhad ketika ini berkemungkinan berpunca daripada 'tangan ghaib' yang mengambil kesempatan.

Semalam, pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Pasir Salak Bangkit itu turut dilaporkan meminta agensi penguatkuasaan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu tegas dalam pemantauan berterusan terhadap pengilang, pemborong dan penjual beras di pasaran.

Chan berkata, setakat ini KPKM tidak mendapati sebarang salah laku seperti didakwa melalui pelaksanaan operasi oleh pihaknya termasuk operasi bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Seperti diulangi, KPKM setakat ini tidak mendapati sebarang mana-mana kesalahan (seperti dakwaan Tajuddin termasuk) berlaku kes tukar kampit beras selepas ratusan operasi kita laksanakan termasuk bersama KPDN.

"Sehingga sekarang tiada bukti kukuh. Orang politik suka komen dan gambaran macam-macam jadi terpulang kepada mereka. Lebih baik kita mencurah tenaga untuk isu lebih spesifik seperti logistik macam mana pengagihan bekalan beras tempatan yang lebih efisien dan efektif," katanya.

Chan bagaimanapun menjelaskan, beliau sentiasa terbuka untuk menerima sebarang aduan atau maklumat berkaitan supaya pihaknya dapat mengambil tindakan sewajarnya.

"Sesiapa saja boleh datang berjumpa saya atau Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras yang mengambil peranan untuk melakukan operasi beras," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 2:03 PM