Fahmi Fadzil.
Fahmi Fadzil.
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Belum ada sebarang perbincangan berkaitan rombakan Kabinet pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Perkara itu disahkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, ketika ditanya mengenai perkara itu.

"(Rombakan Kabinet) tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan berkaitan penerbitan segmen khas 'Biar Betul' bermula 1 Oktober ini.

Segmen yang akan disiarkan setiap hari itu diwujudkan sebagai usaha menangkis penyebaran berita palsu dan fitnah dalam kalangan masyarakat.

Spekulasi rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan timbul sejak akhir-akhir ini, khususnya selepas kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Malah, timbul khabar angin bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melakukan rombakan terbabit selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai pada 7 Oktober ini.

Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata, kerajaan tiada perancangan untuk mengembalikan Akta Antiberita Tidak Benar bagi memerangi penyebaran berita palsu dan fitnah.

"Pada waktu ini, tidak ada perancangan dalam Jemaah Menteri mengenai sebarang cadangan untuk mengembalikan Akta Antiberita Tidak Benar, perkara itu tidak timbul.

"Mengenai Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, saya dan Timbalan Menteri (Teo Nie Ching) sebelum ini ada menyebut bahawa akta terbabit sedang disemak semula tetapi kita belum lagi bersedia untuk bawa ke Parlimen kerana proses libat urus sedang berjalan," katanya.

Akta Antiberita Tidak Benar dimansuhkan di Dewan Rakyat pada 16 Ogos 2018, kira-kira empat bulan selepas ia diwartakan sebagai undang-undang di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Pemansuhan itu diluluskan selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 4:53 PM