Alias Abd Rani


Muar: "Alhamdulillah selepas ini anak saya boleh hidup lebih selesa dan tidak lagi berpanas," kata Rasidah Abd Rahman, 39, yang menjadikan bengkel kimpalan sebagai tempat berteduh di Kampung Parit Lapis Darat, Parit Jawa di sini.

Ibu kepada tujuh anak berusia 18 bulan hingga 18 tahun sebelum ini terpaksa tinggal dalam bengkel kimpalan milik suaminya selepas tidak mampu menyewa.

Menurut Rasidah, bengkel kimpalan itu sebelum ini milik suaminya namun diubahsuai pada 2010 yang menempatkan hanya satu bilik tidur, ruang tamu serta dapur.

"Rumah kami tiada tandas dan terpaksalah menumpang di rumah ibu mentua yang terletak bersebelahan. Nak kata tak selesa itu memang tidak dinafikan tapi apakan daya kami tidak mampu membina rumah lebih selesa.

"Apa yang membimbangkan saya adalah keselamatan anak-anak terutama pada waktu malam jika didatangi binatang berbisa. Pernah sekali rumah kami dimasuki ular tapi mujurlah reptilia itu tidak sebesar mana.

"Anak-anak pun memahami keadaan kami malah mereka tidak pernah sekali pun merungut, nak malu pada kawan pun jauh sekali," katanya ketika ditemui hari ini.

Rasidah berkata, setiap malam anak-anak yang masih kecil dan bersekolah akan tidur bersamanya di ruang tamu dalam keadaan sempit.

Dia bekerja sebagai tukang masak kantin sekolah dengan pendapatan RM50 sehari bagaimanapun bersyukur sekurang-kurangnya bakal memiliki tempat berteduh selesa untuk anak-anaknya.

Katanya, ibunya, Kamisah Mispan, 58, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) juga menumpang berteduh di bengkel berkenaan.

"Kami disaran memohon rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) tapi kedudukannya sangat jauh, sukar untuk anak saya bersekolah.

"Bukan saya menolak tawaran tetapi keadaan yang memaksa dan saya pun fikir perlu bekerja untuk menyara keluarga," katanya.

Kesukaran dilalui Rasidah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Selamat Takim yang turun padang menyampaikan bantuan untuk membaik pulih rumahnya.

"Kami prihatin dengan nasib dilalui Rasidah serta anaknya, kerja membaik pulih ini mampu memberi sedikit keselesaan buatnya sekeluarga untuk membesarkan tujuh anak masih kecil serta bersekolah," katanya.

Bengkel kimpalan yang dijadikan tempat berteduh Rasidah bersama tujuh anak di Parit Jawa. FOTO Alias Abd Rani
Bengkel kimpalan yang dijadikan tempat berteduh Rasidah bersama tujuh anak di Parit Jawa. FOTO Alias Abd Rani

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 3:34 PM