Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kayat mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pulai di Dewan Rakyat, hari ini.

Suhaizan mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebelum sesi penggulungan pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 diteruskan.

Selepas upacara itu selesai, Johari menzahirkan ucapan tahniah dan mengalu-alukan kehadiran Ahli Parlimen Pulai itu bagi menggantikan tempat Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang meninggal dunia 23 Julai lalu.

Johari sempat menyelitkan nasihat dan menyeru Suhaizan dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat dan negara dengan penuh dedikasi dan cemerlang.

"Dewan Rakyat ini mempunyai kedudukan tertinggi dalam menentukan undang-undang negara dan sebagai semak imbang kepada cabang eksekutif demi manfaat pembangunan negara, justeru peranan Parlimen sebagai medan perbahasan dan perdebatan yang bebas mesti dihayati sebaiknya.

"Saya yakin Yang Amat Berhormat akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat ini dengan terhormat seperti yang dituntut institusi luhur ini.

"Saya berharap dengan selesainya majlis angkat sumpah ini Yang Amat Berhormat akan mula menjalankan amanah sebagai ahli dewan rakyat dengan penuh tanggungjawab, memberi sumbangan berfaedah dan bermakna kepada dewan ini seterusnya kepada rakyat dan negara," katanya.

Pada 9 September lalu, Suhaizan menang majoriti 18,641 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu meraih 48,283 undi menewaskan Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) dengan 29,642 undi manakala Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas pula meraih 528.

SUHAIZAN mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pulai di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
SUHAIZAN mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pulai di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 11:20 AM