SUHAIZAN Kayat. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SUHAIZAN Kayat. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad


Johor Bahru: Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat yakin pengundi Parlimen Pulai akan terus memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Sehubungan itu, Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor optimis percubaan kali ketujuh dalam pilihan raya berakhir dengan kemenangan.

Mengakui beliau berhadapan cabaran besar meyakinkan pengundi Melayu, Suhaizan yakin legasi cemerlang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, akan diingati dan dikenang.

"Insya-Allah saya dan jentera PH-Barisan Nasional (BN) akan berusaha bersungguh-sungguh memenangi hati pengundi sekali gus diterjemahkan dalam peti undi nanti," katanya ketika ditemui selepas diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai calon PH bagi Parlimen Pulai, di Pusat Penamaan Calon Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Pada PRU-15 lalu, Salahuddin mempertahankan kerusi Parlimen Pulai selepas memperoleh 64,900 undi.

Allahyarham menang dengan majoriti 33,174 undi menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada Barisan Nasional yang memperoleh 31,726 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong, mendapat 20,677 undi.

Dalam pada itu, Suhaizan yang juga Ketua Amanah Bahagian Pulai turut bertekad akan memperjuangkan dan memberi perhatian terhadap isu serta permasalahan rakyat di Program Perumahan Rakyat (PPR) yang banyak di kawasan Pulai.

"Parlimen Pulai berada di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dan ada empat PPR besar di Kempas, Melana, Uda Utama dan Perling yang memerlukan perhatian berikutan jumlah penduduk yang tinggi di situ.

"Selain itu, banyak isu perumahan, penempatan penduduk dan infrastruktur yang perlu diberi perhatian terutama masalah komuniti termasuk parkir, lif, jalan serta isu perparitan menjadi rungutan penduduk," katanya.

Selain itu, katanya agenda lain yang turut dikenal pasti dimahukan penduduk Parlimen Pulai seperti isu perumahan, pendidikan, pekerjaan, sosial dan sebagainya akan diberikan perhatian sama.

"Cadangan-cadangan akan diberikan secara berperingkat dan berterusan," katanya.

PROFIL CALON PH P161 PULAI

Nama: Suhaizan Kayat
Umur: 50
Pendidikan: Sarjana Sains Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Pekerjaan : Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Pengalaman Kerjaya:
- Speaker DUN Johor (2018-2020)
- Pensyarah UTM
- Usahawan Bidang Petroleum & Pertanian

Jawatan Politik:
- Pengarah Nasional Biro Pembangunan Sumber Manusia, Amanah
- Pengurus Pusat Khidmat Parlimen Pulai
- Ketua Amanah Kawasan Pulai
- Naib Pengerusi Amanah Johor

Berita berkaitan: 3 penjuru di PRK Pulai

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 1:44 PM