Pemilik kedai runcit, Safuan Mohd Nordin, 33, melihat keadaan premisnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Teliar, pagi tadi. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Pemilik kedai runcit, Safuan Mohd Nordin, 33, melihat keadaan premisnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Teliar, pagi tadi. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Oleh Siti Rohana Idris


Pasir Mas: "Saya sangkakan letupan yang didengari adalah bunyi bom atau kemalangan jalan raya, rupa-rupanya ia akibat kebakaran kedai runcit di hadapan rumah," kata Norhaslina Mohd Noor, saksi kejadian kebakaran di Kampung Teliar, di sini, pagi tadi.

Norhaslina, 36, berkata, kejadian berlaku jam 4.10 pagi menyebabkan ahli keluarganya terjaga sebaik terdengar letupan itu.

"Saya terus keluar untuk melihat apa yang berlaku sebelum mendapati kedai runcit di hadapan rumah marak terbakar.

"Saya arahkan semua ahli keluarga keluar kerana bimbang api merebak selain bimbang berlaku letupan," katanya ditemui.

Norhaslina berkata, memandangkan kejadian berlaku awal pagi, tidak ramai yang dapat membantu memadamkan api.

Tambahan pula, api marak dengan cepat. Bomba pula tiba tiba tidak lama kemudian.

Pemilik kedai runcit berkenaan, Safuan Mohd Nordin, 33, berkata, rakannya datang ke rumahnya untuk memaklumkan kejadian.

"Rakan maklumkan kedai runcit yang saya usahakan sejak lima tahun lalu terbakar.

"Ketika itu, baru saya perasan ada banyak panggilan tidak berjawab yang mungkin ingin memberitahu mengenai kejadian itu.

"Saya segera ke kedai runcit yang jaraknya tidak sampai dua kilometer. Kerugian mungkin mencecah RM50,000," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Nazah Nafi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.23 pagi dan 16 anggota dikerah ke lokasi.

"Kira-kira 80 peratus premis musnah dan kebakaran dapat dikawal 40 minit kemudian sebelum dipadam sepenuhnya jam 6.15 pagi.

"Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 2:08 PM