MUHAMMAD Faizol Abdullah, 29, melihat kedainya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis. FOTO Azhar Ramli
MUHAMMAD Faizol Abdullah, 29, melihat kedainya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis. FOTO Azhar Ramli
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


LIMA belas rumah nelayan dan dua rumah kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Tok Pi, Kuala Perlis, Kangar, hari ini.

Dalam kejadian 2 pagi itu, sebuah bot nelayan yang berlabuh berhampiran penempatan nelayan berkenaan turut terbakar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Saksi kejadian, Muhammad Munzir Bukhori, 22, berkata, ketika itu dia baru pulang dari restoran di Kuala Perlis dan sebaik melalui kawasan itu dia terkejut melihat sebuah rumah terbakar.

Menurutnya, dia kemudian terus memaklumkan kepada peniaga burger berhampiran supaya memaklumkan kejadian berkenaan kepada orang kampung sebelum ke balai polis untuk melaporkan kebakaran itu.

"Saya datang semula ke lokasi kebakaran namun ketika itu api semakin marak dan merebak ke rumah lain.

"Malah nelayan warga Thailand yang mendiami kawasan itu juga cuba menyelamatkan bot yang berada di situ," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Muhammad Munzir berkata, penempatan rumah nelayan berkenaan dijadikan sebagai pelantar oleh pengusaha tempatan dan diduduki nelayan warga Thailand.

Penyewa kedai runcit, Muhammad Faizol Abdullah, 29, berkata, dia mengetahui kebakaran itu daripada bapa saudaranya dan terus ke sana.

"Kami menyewa rumah kedai berkenaan untuk menjalankan perniagaan runcit pada siang hari dan sewaktu kejadian tiada sesiapa di situ.

"Sebaik tiba, saya cuba menyelamatkan barangan di dalamnya namun gagal kerana api marak menyebabkan kerugian RM9,000 akibat barangan musnah termasuk peti ais," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perlis, Mohd Fadzil Haroon berkata, pihaknya menerima laporan 2.30 pagi dan tiba 15 minit kemudian

"Seramai 40 orang terdiri daripada pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Perlis, Kangar dan Simpang Empat, dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, api sedang marak membabitkan kebakaran 15 rumah kelas B dan C termasuk dua kedai runcit musnah 100 peratus selain sebuah bot turut terbakar.

"Kebakaran berjaya dikawal sejam kemudian dan kita masih menyiasat punca kebakaran serta nilai kerugian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 10:49 AM