TANGKAP layar video transisi Hari Malaysia yang dibuat Auntie Purple.
TANGKAP layar video transisi Hari Malaysia yang dibuat Auntie Purple.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Tiktokers yang juga pempengaruh, Noor Suhaili Mohamed Amin, 44, atau Auntie Purple memperuntukkan empat hari dengan keseluruhan masa 32 jam menghasilan video transisi sempena Hari Malaysia 2023 yang diraikan hari ini.

Menurutnya, 32 jam itu membabitkan rakaman video, mekap dan suntingan sebelum dimuat naik di akaun TikTok miliknya, semalam.

Video berdurasi 1 minit 16 saat itu memaparkan Auntie Purple mengenakan enam persalinan busana etnik Kadazan (Sabah), Iban (Sarawak), Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

"Untuk baju saya buat persiapan seminggu awal. Macam baju Iban saya beli sendiri dan yang lain memang ada dalam koleksi butik di rumah.

"Masa diambil kali ini agak lama sebab mekap pun lain dan ada sentuhan istimewa berkaitan Hari Malaysia. Itu tak termasuk nak tukar-tukar kostum atau baju," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia memilih kandungan video yang sedikit berbeza kali ini kerana ingin pengikutnya dan masyarakat turut serta meraikan Hari Malaysia.

"Bagi saya, bukan saja sambutan Hari Kebangsaan, tapi Hari Malaysia juga perlu disemarakkan. Sebab ramai juga yang lupa berkenaan tarikh 16 September ini yang mana ia juga peristiwa penting negara," katanya.

Video itu sudah mencecah 900,000 tontonan, lebih 95,000 tanda suka dan lebih 2,000 komen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 2:04 PM