Neelofa
Neelofa
Wartawan HM


Kuala Lumpur:"Jangan kompaun setakat ratus ribu tu, senang-senang je dia bayar. Sepatutnya mahkamah hukum, masukkan adik-beradik dia ni dalam kerja-kerja kemasyarakatan sampai beratus-ratus jam. Tukar-tukar tempat, hari ni bersihkan tandas masjid, esok tandas awam, lepas tu cuci wad kecemasan, bantu abang polis jaga sekatan jalanraya.

Demikian tulis seorang warganet mencadangkan hukuman yang lain mungkin sesuai dikenakan kepada

selebriti sensasi, Neelofa, 32, dan keluarganya berikutan kesilapan sama yang berulang kali dilakukan selain mengenakan jumlah kompaun yang tinggi.

Hasil tinjauan Harian Metro terhadap komen ditulis netizen di media sosial juga mendapati kebanyakannya menganggap Neelofa dan keluarga mempunyai 'penyakit' sukakan perhatian daripada orang ramai.

"Attention seekers akan sentiasa buat hal agar 'populariti' dirinya tidak hilang dari radar peminat atau orang awam," ujar seorang netizen.

"Dia ni ada penyakit yang sukakan perhatian. Lepas ni pasti ada lagi. Peliknya dalam rumahnya tinggal beberapa keluarga. Masa ada satu siaran yang tunjuk rumahnya, tak ada lak ahli keluarga tu," kongsi seorang warganet lagi

"Dah kata dah, dia ni laki bini, sefamili elok dipenjarakan je ikut kesalahan, atau buat kerja-kerja amal macam cuci longkang, kutip sampah, biar rakyat yang ikut SOP ni tengok diaorang buat kerja-kerja tu," tulis netizen.

"Nampak sangat macam tak endah dan mencabar ditetapkan. Mungkin setakat denda tiada masalah," tulis seorang lagi warga maya.

Sejak semalam, Neelofa bersama suami serta ahli keluarga menjadi perhatian warganet di media sosial apabila tersebar pula video pendek meraikan kemeriahan Aidilfitri secara berkumpul, baru-baru ini.

Video berdurasi 27 saat dengan kapsyen "1 Syawal yang penuh mulia" itu, menyaksikan kakak Neelofa, Noor Nabila sedang bersalaman dengan ibu bapanya, dipercayai 'terlepas' dikongsikan seketika oleh Nabila di Instagram Story, sebelum dipadamkan.

Rata-rata netizen kembali 'panas hati' dan bengang dengan Neelofa termasuk ahli keluarganya. Malah, usahawan terkenal itu disifatkan sangat berani melanggar undang-undang yang sudah beberapa kali dilakukannya.

Belum lagi reda isu merentas negeri yang dilakukan pada Ramadan lalu ke Pusat Perniagaan Nilai 3, Negeri Sembilan bagi membeli karpet, sekarang timbul pula kisah baharu berikutan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri yang ditetapkan.

Terdahulu, Neelofa dan keluarganya dikenakan kompaun sebanyak RM60,000 atas kesalahan kegagalan mematuhi SOP penganjuran majlis sosial serta melanggar kebenaran merentas negeri.

Pada 27 Mac lalu, Neelofa selamat bernikah dengan suaminya, Haris atau lebih dikenali PU Riz, dan kemudian pasangan ini ke Langkawi, Kedah atas urusan perniagaan, tetapi mencetus sensasi apabila banyak aktiviti dibuat mereka seperti berbulan madu.

Sehubungan itu, sebelum sambutan Aidilfitri baru-baru ini kerajaan mengumumkan selain tidak boleh merentas negeri dan daerah, tidak dibenarkan juga sebarang aktiviti kunjung-mengunjung pada hari raya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 3:12 PM