GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Larangan merokok di restoran perlu dikekalkan kerana ia memberi kebaikan kepada semua.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyediakan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.

Menyifatkan ia sebagai pusingan U, beliau berkata, langkah terbaik adalah langsung tidak membenarkan pelanggan merokok di dalam premis sama sekali kerana ia bukan saja baik untuk kesihatan, malah persekitaran juga akan menjadi bersih.

"Kita tidak faham mengapa langkah ini akan dipertimbangkan. Sebelum ini jarak tiga meter, kali ini premis makanan di kawasan sempit pula.

"Yang baiknya, langsung jangan benarkan merokok. Kami pemilik restoran juga selesa dengan persekitaran yang bersih. Pihak berwajib perlu konsisten, jangan 'flip-flop (tukar-tukar),'" katanya.

Beliau mengulas laporan media mengenai KKM akan mempertimbang langkah menyediakan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, premis di kawasan sempit agak sukar bagi mematuhi jarak tiga meter untuk merokok yang dikuatkuasakan ketika ini.

Mengulas mengenainya, Jawahar Ali berkata, peraturan yang diperkenalkan sebelum ini sudah memadai dan pelanggan serta perokok sudah jelas mengenainya.

"Janganlah tukar-tukar begini. Sekarang ini nak jumpa puntung rokok pun susah, kawasan sekitar bersih dan selesa.

"Bila beri kebenaran, lain pula keadaannya nanti. Sepatutnya tumpu kepada perkara yang lebih besar," katanya.

Menurutnya, kerajaan wajar meneliti denda yang dikenakan kepada pemilik premis yang gagal menghalang pelanggan merokok di premis kerana ia mengelirukan.

"Pemilik restoran tidak ada kuasa untuk halang perokok, hanya boleh nasihatkan. Tetapi jika mereka enggan, kami pula didenda. Ini yang patut jadi isu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 12:42 PM