Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Video persembahan medley lagu Mungkin Hari Ini, Esok Atau Nanti dan Belum Siap Kehilangan nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza masih berada di carta 'trending' YouTube. 

Video itu berada di kedudukan ke-24 selepas dimuat naik pada 15 Oktober lalu bersempena meraikan satu juta 'subscribers' akaun YouTube Siti Nurhaliza.

Menariknya, video itu turut mendapat perhatian dan komen daripada penyanyi asal lagu Mungkin Hari Ini, Esok Atau Nanti iaitu Anneth Delliecia.

Anneth, 26, menerusi komen yang ditulis berkata, ia satu penghormatan buat dirinya apabila Siti memilih untuk menyanyikan lagu itu.

"Terima kasih banyak 'auntie' sudah nyanyi lagu Mungkin Hari Ini Esok Atau Nanti. Ia satu penghormatan buat saya. Sihat, bahagia dan sukses (berjaya) selalu ya 'auntie'. Harap kita dapat bertemu suatu hari nanti," katanya.

Sementara itu, Siti berterima kasih pada Anneth atas kesudiannya menulis di ruangan komen.

"Terima kasih sudah komen di sini Anneth. Gembira dapat menyanyikan lagu kamu. Terus sukses ya dan datang ke Malaysia untuk promosi jika habis pandemik nanti," katanya.

Sejak dimuat naik, video itu sudah mencecah tontonan lebih 375,000.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 6:36 PM