GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pemandu e-hailing cedera di belakang badan selepas dilibas dengan parang dalam kejadian samun di hadapan sebuah bank di Jalan Kuchai Maju 1, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, lelaki berusia 48 tahun itu sedang berjalan di hadapan bank terbabit sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal.

Menurut sumber, salah seorang suspek kemudian turun dari motosikal dan mengacukan sebilah parang ke arah mangsa.

"Suspek turut mengarahkan mangsa menyerahkan beg silangnya sambil menarik beg itu sehingga berlaku pergelutan.

"Kemudian suspek melibas parang dan terkena bahagian belakang badan mangsa dan mereka terus melarikan diri bersama beg silang itu," katanya.

Sumber berkata, wang tunai RM800 dan dua telefon bimbit yang berada di dalam beg silang mangsa dilarikan suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 6:18 PM