NI1, N2, N3 adalah tempat meletak kenderaan untuk pengunjung
NI1, N2, N3 adalah tempat meletak kenderaan untuk pengunjung
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pameran Penerbangan Selangor 2023 (SAS 2023) edisi ketiga akan berlangsung di Skypark RAC, Bukit Jelutong, Selangor pada 7 hingga 9 September ini.

Menurut Invest Selangor Bhd selaku penganjur, acara ini membabitkan penyertaan enam negara dengan pameran kira-kira 40 pesawat statik.

"Dianggarkan kira-kira 20,000 pengunjung hadir sepanjang tiga hari program berlangsung selama tiga hari berkenaan.

"Pengunjung disarankan supaya merancang perjalanan bagi mengelak kesesakan di lokasi program terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tiada ruang parkir di lokasi terbabit dan pengunjung disarankan untuk meletakkan kenderaan di jalan utama berhampiran Skypark RAC.

"Pengunjung yang datang menggunakan kenderaan persendirian digalakkan untuk meletakkan kenderaan di ruang parkir di Stadium Shah Alam terletak di sebelah pasar raya di Seksyen 13.

"Pengunjung boleh terus ke kaunter pendaftaran C untuk mengimbas kod QR dari emel pengesahan dan mengambil gelang untuk masuk," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan bas henti-henti juga akan beroperasi dari parkir stadium berkenaan ke Skypark RAC.

"Pengunjung perlu ke kaunter pendaftaran B untuk pemeriksaan keselamatan rutin sebelum memasuki lokasi program.

"Pengunjung boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing dan turun i-Parc 3, Bukit Jelutong.

"Dari lokasi ini, van henti-henti akan berada di pintu masuk Skypark RAC sebelum ke kaunter pendaftaran B untuk mengambil gelang dan menjalani pemeriksaan keselamatan rutin," katanya.

Katanya, semua pengunjung dikehendaki untuk meneliti peraturan keselamatan sebaik memasuki di lapangan terbang atau lokasi selamat bergantung kepada pihak keselamatan udara.

"Bagi mendapatkan maklumat mengenai SAS 2023 dan perkembangan berkaitan program dengan mengikuti platform media sosial di Facebook, Instagram, LinkedIn dan Twitter," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 8:31 PM