SELANGOR berada di landasan tepat untuk menjadi peneraju industri aeroangkasa di Malaysia disokong dengan ekosistem yang hampir lengkap bagi membangunkan industri itu menjelang 2030.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, industri aeroangkasa antara yang paling terkesan sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada Mac tahun lalu.

Katanya, dengan program vaksinasi dan lebih ramai rakyat divaksin, pihaknya percaya ia akan membantu Selangor mencapai inisiatif pelan tindakan jangka panjang (2020 ke 2030) bagi industri aeroangkasa ini.

"Jangkaan industri aeroangkasa ini akan mula pulih pada tahun depan ke atas dan berkemungkinan mencapai peringkat seperti sebelum pandemik dalam penerbangan dan aktiviti lain menjelang 2024.

"Justeru, kami percaya usaha membangunkan industri ini perlu dimulakan sekarang dan disebabkan itu Invest Selangor menganjur dan melancarkan Selangor Aviation Show (SAS) 2021," katanya selepas melancarkan Selangor Aviation Show 2021 di sini, semalam.

SAS 2021 akan berlangsung di Skypark RAC Subang pada 25 hingga 27 November depan.

SAS 2021 menyasarkan pembabitan 43 pempamer dalam dan luar negara serta 5,000 pengunjung sepanjang acara berlangsung.

Amirudin berkata, Selangor juga adalah hab utama sektor aeroangkasa dengan lebih daripada 65 peratus firma berkaitan industri itu bertapak di negeri itu.

Katanya, penganjuran SAS 2021 akan mengukuhkan Selangor sebagai negeri yang mempunyai ekosistem lengkap industri aeroangkasa.

Beliau menggalakkan pemain industri bekerjasama dengan kerajaan Selangor dan menyokong SAS 2021.

"SAS 2021 juga akan membuka peluang jalinan kerjasama syarikat tempatan dan antarabangsa, sekali gus meningkatkan lagi pelaburan aeroangkasa," katanya.

SAS 2021 akan berlangsung tiga hari dengan dua hari pertama untuk pelawat perdagangan sebelum dibuka untuk kunjungan orang ramai pada hari ketiga penganjuran.

Pelawat digalakkan merancang kunjungan mereka ke SAS 2021 dengan mendaftar dan memilih hari lawatan mereka di selangoraviationshow.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 7:10 AM
AMIRUDIN (tengah) bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris (kanan) merasmikan Selangor Aviation Show 2021.
AMIRUDIN (tengah) bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris (kanan) merasmikan Selangor Aviation Show 2021.