Ng Sze Han (dua kiri) bersamaDatuk Hasan Azhari Idris (dua kanan)  pada Selangor Aviation Show di Skypark Regional Aviation Centre. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Ng Sze Han (dua kiri) bersamaDatuk Hasan Azhari Idris (dua kanan) pada Selangor Aviation Show di Skypark Regional Aviation Centre. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pameran Penerbangan Selangor 2023 (SAS 2023) dilihat berpotensi menjadikan Selangor sebagai hab aeroangkasa negara.

Penganjuran SAS 2023 edisi ketiga yang diadakan di Skypark RAC, Bukit Jelutong yang bermula Jumaat lalu itu turut mengadakan potensi nilai transaksi sebanyak RM700 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif, Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, pihaknya berusaha mempromosikan Selangor sebagai hab aeroangkasa di negara ini dengan penyerahan pelbagai syarikat dan negara.

"Ini akan mengukuhkan lagi kedudukan industri aeroangkasa di negeri Selangor khususnya dan di Malaysia amnya.

"Kita juga mengharapkan akan ada lebih banyak transaksi perniagaan dimeterai sepanjang tahun ini untuk terus memacu industri aeroangkasa dengan lebih pantas lagi," katanya.

Hasan Azhari berkata, penganjuran SAS 2023 oleh kerajaan negeri melalui Invest Selangor itu menyediakan platform rangkaian dinamik untuk pemain industri penerbangan global, serantau dan tempatan.

"Ini khususnya dalam sektor perniagaan dan penerbangan am untuk membuat rangkaian, dialog, dan berkongsi produk dan kepakaran mereka.

"Bertemakan 'The Only Business & General Aviation Show in the Region', SAS 2023 menawarkan peluang kepada semua peserta merasai dan melihat sendiri inovasi yang dimiliki oleh industri penerbangan.

"Selain itu mempamerkan kemajuan dan produk terkini dalam sektor ini, dengan tumpuan kepada kecemerlangan, inovasi dan pertumbuhan," katanya.

Jelas beliau, fokus utama SAS 2023 adalah menyediakan platform rangkaian untuk perniagaan di rantau ini, dan menjana pertumbuhan ekonomi, menggunakan Selangor sebagai pintu masuk ke pasaran yang lebih besar di serantau.

Pada hari pertama pameran 7 September lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, SAS yang membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri penerbangan disasar dilaksana pada skala lebih besar menjelang 2025.

Amirudin berkata, pameran yang mendedahkan orang ramai kepada dunia aeroangkasa itu turut disasar menjadi pameran udara nombor satu di rantau Asia dan Asia Tenggara menjelang 2030 daripada segi kualiti pelawat yang ditarik.

Kita anggarkan dua tahun lagi akan buat dalam skala lebih besar dan mungkin akan berpindah daripada Subang ke Sepang.

"Sasaran kita pada 2025 dengan penyertaan lebih ramai dan aktiviti lebih padat namun tidak lari daripada bidang tumpuan SAS iaitu penerbangan am, penerbangan perniagaan, pesawat ringan dan helikopter," katanya kepada media selepas merasmikan SAS 2023 di di Skypark Regional Aviation Centre, Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 4:46 PM