RUPAA  mendekati pelbagai lapisan masyarakat menerusi pelbagai program kebajikan. FOTO IHSAN Y RUPAA SRI
RUPAA mendekati pelbagai lapisan masyarakat menerusi pelbagai program kebajikan. FOTO IHSAN Y RUPAA SRI
Redzuan Muharam


Klang: Kelebihan bertutur dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin dimanfaatkan pengurus bakeri serta kafe, Y Rupaa Sri untuk mendekati masyarakat berbilang bangsa juga agama menerusi aktiviti kebajikan yang dijalankan.

Aktiviti berkenaan dijalankan menerusi Persatuan Ibu Tunggal dan Wanita Inovasi Malaysia yang mana wanita mesra disapa Rupaa, 28, itu menjawat jawatan sebagai presiden sejak 2019.

Meskipun sibuk dengan tugas harian, Rupaa tetap meluangkan masanya dengan aktiviti kebajikan kerana minat dan keinginannya menyantuni serta membantu golongan tidak bernasib baik.

"Ibu saya adalah guru dan aktif dalam aktiviti kebajikan serta sosial. Dia juga seorang ibu tunggal dan sejak kecil, saya sudah ikut serta diberi pendedahan mengenai aktiviti dilakukan.

"Inisiatifnya itu memberi inspirasi kepada saya untuk ikut jejak langkahnya seterusnya membantu mereka yang memerlukan," katanya dihubungi Harian Metro.

Rupaa mengakui, kefasihannya bertutur dalam empat bahasa memudahkannya ketika bertemu dengan masyarakat.

"Saya akui kelebihan itu memudahkan saya untuk berkomunikasi dengan masyarakat yang majoritinya bertutur dalam empat bahasa utama iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

"Jadi, saya gunakan kelebihan itu dan memang lebih senang untuk orang ditemui berkongsi masalah mereka dengan bercakap menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

"Secara tak langsung, ia dapat menjalinkan hubungan lebih rapat di antara masyarakat dan saya.

"Maklumat yang ingin disampaikan lebih tepat dan bersesuaian jika gunakan bahasa sendiri," katanya.

Bercerita lanjut, Rupaa berkata, banyak program sudah dijalankan setakat ini seperti ceramah motivasi, bengkel juga kursus jangka pendek dan panjang membabitkan golongan remaja hingga dewasa.

Menyedari kepentingan pelajaran, Rupaa turut membuka kelas tuisyen khusus untuk murid dan pelajar di Selangor yang diberikan percuma kepada golongan B40 serta 50 peratus bayaran buat yang lain.

"Antara kursus dijalankan pula termasuk keusahawanan pemprosesan bakeri, makanan sejuk beku dan kuih tradisional serta pembuatan manisan.

"Turut diadakan kelas jahit manik, solekan, jahitan dan aktviti ramah mesra serta sumbangan kepada rumah anak yatim juga rumah orang tua.

"Tidak ketinggalan sumbangan bakul makanan, gotong-royong membersihkan rumah ibadat, projek satu rumah satu usahawan, projek sifar buta, pembangunan desa, kaunseling, saringan, pameran serta ceramah, program pendaftaran perkahwinan, pembentukan akhlak dan banyak lagi," katanya yang juga ibu kepada seorang anak.

Walaupun melakukannya secara sukarela, Rupaa puas dapat membantu dan menyampaikan bantuan kepada penerima tanpa syarat pada kadar yang cepat.

"Bukan mudah sebenarnya malah cabaran atau kepahitan yang saya berani tanggung demi membantu individu itu memerlukan ketabahan hati yang luar biasa," katanya yang menyimpan impian untuk menghasilkan 100 pengusaha bakeri wanita di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 7:00 AM