Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: "Lagu Melayu sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya dan juga antara lagu kegemaran," kata Satthiya Kandi yang tular di media sosial selepas nyanyiannya dalam bahasa Melayu mendapat perhatian warganet.

Nyanyian Satthiya, 33, yang dimuat naik di aplikasi TikTok turut tular di Twitter.

Menerusi rakaman nyanyian berdurasi 35 saat itu, Satthiya terlihat santai menyanyikan lagu 'Put Your Head On My Shoulder' versi Melayu dan mendendangkannya dengan penuh lancar.

Selain sering berkongsi nyanyian lagu Melayu di akaun media sosial miliknya, siapa sangka Satthiya juga fasih bertutur bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin.

Dia yang berasal dari Kuantan, Pahang itu berkata, bakat nyanyian itu bermula sejak di bangku sekolah lagi dan pernah membuat persembahan di majlis rasmi.

"Seperti lagu Tamil, saya dengar lagu Melayu sejak kecil lagi. Lagu Melayu juga sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya.

"Saya juga menyukai lagu nyanyian Ziana Zain dan Tok Ti (Datuk Seri Siti Nurhaliza) serta pernah menyanyikannya dalam majlis rasmi seperti persembahan di kolej," katanya yang menetap di Prai, Penang.

Menurutnya, bahasa Mandarin juga dikuasainya sejak tadika dan melanjutkan penguasaan dalam bahasa itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Semambu, Kuantan.

"Saya bekerja tetap sebagai pembantu tadbir dan tutor kelas Mandarin separuh masa.

"Saya juga banyak menyanyikan lagu Mandarin dan pernah memasuki program televisyen, Vizhuthugal di Astro," katanya.

Katanya, lagu Sejahtera Malaysia menjadi antara lagu kegemarannya yang turut dikongsikan dalam versi acapella di media sosial miliknya pada Hari Merdeka ke-62 pada 2019.

Satthiya juga pernah berkongsi nyanyian lagu Selamat Hari Raya sempena perayaan Aidilfitri di Twitter, tahun lalu.

"Sejak 2015 lagi saya aktif berkongsi kandungan nyanyian dan lakonan komedi di Instagram, Facebook dan TikTok.

"Semua orang ada masalah masing-masing dan menjadikan media sosial sebagai platform untuk mereka tenangkan fikiran, jadi saya harap kandungan yang dikongsi dapat menceriakan dan menggembirakan penonton," katanya.

Menurutnya, penguasaan empat bahasa jelas memberi kelebihan kepadanya dalam menghayati budaya setiap kaum utama di Malaysia selain dapat berkomunikasi dengan lebih baik.

Katanya, jika ada rezeki dan peluang, dia juga mahu menjadi penyanyi profesional suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 8:02 PM